Tun Mahathir jadi rujukan bentuk kerjasama SG4

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadikan rujukan untuk kerjasama empat negeri yang dikenali sebagai State-Government 4 (SG4).

- Advertisement -

Empat negeri yang terlibat ialah Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pengalaman yang dimiliki oleh Tun Dr Mahathir sangat luas dalam pembangunan negara.

“Saya rasa tidak ada rakyat Malaysia yang menafikan peranan beliau dalam membangunkan negara Malaysia.

“Secara khususnya beliau memberi pesanan tentang urus tadbir yang cekap yang diperlukan di peringkat negeri supaya segala kelulusan projek-projek yang dilaksanakan dengan lebih efisyen.

“Kerana yang tidak efisyen ini yang menyebabkan pelabur-pelabur lari daripada negeri Terengganu atau negeri lain, itu satu penyebab yang utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Simposium Pelaksanaan Syariah Dalam Itqan Al-muluk Bita’dil As Suluk di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail menyempurnakan majlis perasmian Simposium itu.

Selain itu, katanya Tun Dr Mahathir turut berperanan dalam menghubungkan pelabur-pelabur dari beberapa negara.

“Yang kedua peranan untuk menghubungkan pelabur dari negara-negara tertentu seperti Jepun, Korea yang masih lagi mempunyai link network yang sangat rapat dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir,” katanya.

SG4 merupakan kerjasama strategik mengikut bidang kuasa empat negeri berkenaan yang akan memfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf rakyat di negeri terbabit dengan mengenalpasti aset, kekuatan, kerjasama strategik dan sebagainya yang boleh dilaksanakan.

Pada peringkat awal, kata Samsuri, kerajaan Terengganu dan Perlis telah mengadakan kerjasama untuk membina dan mewujudkan sebuah hospital Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare).

“Itu untuk langkah yang paling awal yang telah kita buat sebelum lagi kewujudan SG4 pada waktu itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023

- Advertisement -