Banyak `kerengga’ kacau mahu jatuhkan kerajaan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pelbagai cubaan menjatuhkan kerajaan terdahulu adalah punca PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak dapat membuat semakan semula terhadap perjanjian royalti petroleum ketika menerajui pentadbiran negara.

“Sebenarnya kami banyak (perkara) mahu diuruskan. Masa kami memerintah (mentadbir) dahulu, ‘kerengga’ banyak sangat yang kacau mahu jatuhkan kerajaan. Masa mana nak baca perjanjian ini (royalti petroleum)?

- Advertisement -

“Kami terpaksalah tahan perjanjian (royalti petroleum) untuk mempertahankan kerajaan sehingga beberapa kali bertukar Perdana Menteri,” katanya menjawab celahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya).

Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden PAS berkata, mana-mana pihak boleh membuat laporan polis jika dapat membuktikan beliau menghasut supaya mengguling kerajaan.

“Saya tak menghasut (untuk menjatuhkan kerajaan Pusat sedia ada). Kalau saya hasut, buatlah laporan polis sekali lagi,” katanya ketika menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan sama ada tindakan menghasut untuk menjatuhkan kerajaan sebagai suatu yang haram dalam Islam.

Tuan Guru Abdul Hadi menafikan percubaan menjatuhkan kerajaan sebagai suatu perbuatan haram dalam Islam serta menyatakan bahawa percubaan menjatuhkan kerajaan dibenarkan mengikut proses demokrasi berparlimen.

“Kerajaan boleh ditukar, sama ada melalui undi tidak percaya di parlimen (Dewan Rakyat), mendapatkan akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen atau kerajaan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya semula.

“Ini (percubaan menjatuhkan kerajaan) boleh buat dan tidak salah, di mana Yang Dipertuan Agong (ada kuasa untuk membubarkan Parlimen) di bawah Perlembagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023

- Advertisement -