Rumah digadai pemaju: Penduduk desak campur tangan KM

Setiausaha Sulit Ketua Menteri Pulau Pinang, Lai Hon Meng menandatangani memorandum penduduk disaksikan Habibur, Saiful, Nor Zamri, Yaacob dan penduduk.
- Advertisement -

GEORGETOWN: Penduduk perumahan Taman Halaman Indah, Jawi mendesak campur tangan kerajaan negeri menyelesaikan isu kediaman mereka yang didakwa digadai pemaju kepada ceti dan syarikat peminjam wang.

- Advertisement -

Sehubungan itu mereka menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Komtar semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Isu Gadaian Tanah Taman Halaman Indah, Habibur Rahman Seeni Mohamed berkata, mereka semakin buntu kerana perlu membayar sejumlah RM21,000 setelah rundingan dengan pelikuidasi yang dilantik syarikat peminjam wang.

Adun Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff (tengah) dan Habibur (paling kanan) memegang memorandum penduduk untuk diserahkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya pihak terbabit memberi tempoh sehingga Oktober ini bagi menjelaskan bayaran tersebut.

“Seramai 155 pemilik kediaman Taman Halaman Indah dianiayai pemaju yang kini diisytihar muflis.

“Seramai 115 daripada 155 pemilik kediaman digesa supaya membayar RM21,000 untuk mendapatkan hak milik geran rumah, jika tidak rumah mereka akan dilelong,” katanya ketika ditemui.

Manakala pembeli lain pula berdepan dengan lain-lain syarikat pemberi pinjaman wang dan ceti yang mahu masalah pemilikan geran diselesaikan di mahkamah.

Penduduk berhimpun di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam menuntut kerajaan negeri campur tangan.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Sulit Ketua Menteri Pulau Pinang, Lai Hon Meng oleh Habibur.

Penyerahan memorandum turut disaksikan Adun Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Negeri Pulau Pinang, Yaacob Omar dan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan.

Habibur juga berkata, seramai 155 penduduk yang dianiaya terbabit membeli kediaman mereka bernilai RM42,000 sehingga RM80,000 ke atas dengan pembelian tunai.

“Sebelum ini kami berdepan dengan penantian yang cukup panjang apabila kecewa rumah yang dibeli sejak 2010 menjadi projek terbengkalai,” ujarnya.

Bagaimanapun pada tahun 2018, kekecewaan mereka terubat dengan campur tangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Dato’ Zuraida Kamaruddin yang menjanjikan masalah mereka akan diselesaikan.

Pada tahun 2019, penduduk mendapat kunci rumah, namun mereka dikejutkan pula dengan kediaman dimiliki digadai pemaju kepada syarikat peminjam wang dan ceti.

Kata Habibur, pemaju menggadaikan geran rumah mereka kepada sembilan ceti termasuk syarikat-syarikat peminjam wang.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan seramai 155 penduduk perumahan Taman Halaman Indah mendakwa ditipu dan dianiaya pemaju perumahan yang menggunakan kelulusan kuasa penuh (PA) daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk menggadai hartanah mereka.

Masalah bertambah rumit apabila pemaju berkenaan diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia pada tahun 2020.

Malah, kegagalan pemaju melunaskan hutang dengan pemberi pinjaman wang dan ceti menyebabkan masalah itu dibebankan kepada penduduk. – HARAKAHDAILY 14/9/2023

- Advertisement -