Makhluk asing di Mexico? Jangan mudah percaya

Beberapa foto fosil mumia yang dikatakan sebagai makhluk asing yang didakwa ditemui di Mexico. (FOTO: Screengrab)

MEXICO CITY: Dakwaan seorang pakar objek terbang tidak dikenali (UFO) atau ufologi yang juga wartawan, Jaime Maussan pada Selasa (12 Sept) mengenai apa yang didakwanya dua fosil mayat ‘bukan manusia’ tetapi makhluk asing, kepada Kongres Mexico belum dapat dipastikan kebenarannya.

Ini kerana Maussan pernah melaporkan tentang mayat makhluk asing yang dikatakan ditemui di Peru pada 2015 yang kemudiannya disangkal, dan sebenarnya ialah mayat mumia seorang anak manusia.

Advertisement

Kali ini pula, Maussan mendakwa mayat mumia kecil itu, yang mempunyai kepala memanjang, tiga jari dan solekan badan yang serupa dengan gambaran Hollywood tentang makhluk asing, didakwa ditemui di Peru pada 2017 dan dikatakannya berusia kira-kira 1,000 tahun, lapor Forbes.

Maussan yang berkecimpung sebagai wartawan selama 50 tahun, mendakwa mayat itu ditemui di lombong alga dan penyelidik di Universiti Kebangsaan Autonomi Mexico memeriksa kedua-duanya, mendapati satu daripadanya  mempunyai ‘telur’ di dalamnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Saintifik untuk Kesihatan tentera laut Mexico, José de Jesús Zalce Benítez, ketika menunjukkan imbasan mumia kecil itu kepada ahli Kongres Mexico mendakwa kedua-duanya mempunyai leher yang boleh ditarik balik, tiada gigi, otak dan mata bersaiz besar yang mampu menyediakan ‘penglihatan stereoskopik yang meluas’. 

Sepertimana Maussan, Benítez juga merupakan penyelidik utama dalam pembentangan penemuan mayat yang disangkal, yang menunjukkan enam mayat mumia tiga jari dalam video YouTube disiarkan pada 2017 oleh Gaia.com, yang setelah penelitian dibuat, ia didapati sekadar  hab teori konspirasi.

Gaia.com  ialah laman web itu mengenakan bayaran AS$99 setahun untuk video mengenai subjek paranormal dan ghaib, termasuk penculikan makhluk asing. 

Tapak web tersebut adalah milik platform video alternatif Gaia Inc., sebuah syarikat yang didagangkan secara terbuka dengan had pasaran AS$52 juta.

Mayat mumia yang dikatakan makhluk  asing  dalam laporan video dari Gaia.com kelihatan  jauh lebih besar daripada yang dibentangkan kepada Kongres Mexico pada Selasa, walaupun kesemua struktur badannya  berkongsi beberapa persamaan, termasuk tangan tiga jari dan kepala memanjang.

Pada 2010, Maussan menganjurkan rancangan televisyennya sendiri, setahun selepas muncul dengan sebuah filem dokumentari yang merangkumi usahanya menjejak ‘peristiwa UFO paling kontroversi’ dalam sejarah Mexico yang diberi judul, Maussan’s UFO Files.

Di samping itu, Maussan juga mempunyai saluran YouTube, Maussan TV, dengan hampir satu juta pelanggan.

Dalam pada itu, Ryan Graves, bekas juruterbang Tentera Laut Amerika Syarikat  yang memberi keterangan bersama dengan bekas pegawai perisikan, David Grusch di hadapan Kongres di Washington pada Julai lalu mengenai dakwaan pertemuannya dengan UFO, turut hadir di Mexico City pada Selasa, dan berkata, tumpuan organisasinya, Americans for Safe Aerospace, adalah kepada ‘meningkatkan pendidikan awam, memecahkan stigma dan berusaha ke arah ketelusan dan pendedahan yang lebih baik tentang fenomena anomali tidak diketahui atau Unidentified Anomalous Phenomena (UAP).

Ketika memberi keterangan itu, Grusch bersumpah bahawa dia benar-benar ‘pasti’ kerajaan persekutuan AS memiliki UFO dan dia menemu bual beberapa individu yang menyiasat tapak nahas UAP dan memulihkan apa yang diklasifikasikan secara biologinya sebagai ‘bukan manusia’. – HARAKAHDAILY  14/9/2023