Anjakan tatakelola tidak lindungi mereka yang terlibat rasuah

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

TAHNIAH kepada kerajaan terdahulu dan terkini yang berjaya melaksanakan segala strategi dan inisiatif utama melalui rolling plan RMK12 ini.

- Advertisement -

Daripada asas Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di bawah pentadbiran kerajaan PN yang menjadi tunjang kepada RMK12 ini sehinggalah pendekatan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, segala kejayaan ini adalah kejayaan bersama melalui semangat federalism di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Ianya selari dengan penekanan oleh Ibn Khaldun di dalam Mukaddimah: “Setiap Kerajaan mempunyai batas daerah dan wilayah yang tidak boleh dilanggar.”

Semangat federalism ini perlu dihormati dan diperkasakan melalui asas good governance @ tatakelola, separation of power @ pengasingan kuasa, patriotik dan loyal tanpa campurtangan dan pengaruh kuasa asing bagi membentuk dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia. Apatah lagi dalam keadaan PN memerintah negeri Perlis, Terengganu, Kelantan dan Kedah dalam keadaan zero dan minimum ADUN pembangkang pasca PRU ke-15 bagi Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Perlu diingat pada penegasan oleh Ibn Khaldun: “ketidakadilan dan kezaliman akan merobohkan pembangunan. Tiada pembangunan kecuali dengan keadilan dan Keadilan itu adalah merupakan timbangan antara makhluk yang ditetapkan oleh Allah SWT.”

Sebagai penambahbaikan, saya mencadangkan agar kesemua projek yang sudah diluluskan pada separuh penggal kedua RMK12 ini dapat dikongsi bersama ahli parlimen mengikut kawasan ahli parlimen itu sendiri supaya memudahkan ahli parlimen bersama-sama agensi terbabit dapat mengawasi (monitor) pelaksanaan projek-projek tersebut.

Di Jerantut, masih banyak projek-projek infra dari RMK10 dan RMK11 yang diluluskan tetapi masih tidak dapat disiapkan dan mengalami delay dari sudut tarikh siapnya. Mohon kementerian yang terbabit dapat memberikan response di dalam penggulungan nanti.

Pada perbahasan Belanjawan yang lepas, saya selaku ketua portfolio PN bagi Kementerian Pengangkutan telah menekankan kepada aspek memangkin urbanisasi melalui transformasi sektor pengangkutan yang memfokuskan pada aspek urbanisasi daerah berpotensi melalui ketersambungan (connectivity) mobility setempat. Alhamdulillah, ia selari dengan Pemangkin Dasar 3 KSP RMK12 iaitu Menambah Baik Ketersambungan dan infrastruktur Pengangkutan.

Melihat kepada kepentingan pelaburan kewangan negara melalui aspek ketersambungan ini, saya ingin bertanya berkenaan dengan kemajuan (progress) project mega ECRL dan apakah usaha-usaha Kerajaan Pusat untuk membantu kerajaan negeri dalam menyediakan pembangunan dan bantuan pemasaran PMKS pada daerah-daerah yang terbabit.

Dalam jawapan pihak menteri pada perbahasan Belanjawan yang lepas berkenaan dengan cadangan Jerantut untuk pihak kerajaan menyemak kembali keperluan melaksanakan projek High Speed Rail (HSR) antara Malaysia-Singapura dan diteruskan sehingga ke Thailand, pihak kementerian menegaskan perlunya diadakan Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Assessment) kepada projek rel mega ini. Soalan saya, apakah perkembangan terbaru berkaitan projek ini dan kita dimaklumkan ianya akan diteruskan melalui PFI iaitu Private Finance Initiative. Sekiranya ianya diteruskan, apakah posisinya di dalam KSP RMK12.

Atas prinsip yang sama, Jerantut memohon agar pihak kerajaan Pusat dapat mempertimbang kembali kelulusan untuk membina Projek Kedah Aerotropolis KXP kerana projek ini juga bersifat PFI. Model perniagaan (Business model) untuk KXP ini tertumpu pada International Transhipment Cargo Hub, MRO, Business Park dan SIDAM Logistic, aerospace & Manufacturing (SLAM) sebenarnya adalah complement dan menjadi pemangkin untuk meningkatkan jumlah pelanggan/penumpang yang akan mendarat di Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang yang dianggarkan seramai 12 juta penumpang. Dan pendapat ini juga ditekankan oleh bekas ahli parlimen DAP selama 2 penggal dan bekas Timbalan Menteri MITI, Dr Ong Kian Ming berkenaan dengan hal regional supply chain ini.

Fokus Pemangkin Dasar 1: Membangunkan Bakat Masa Hadapan, KSP RMK12 memberikan keutamaan kepada penjajaran semula pasaran buruh dan mempertingkatkan pembangunan bakat pada semua peringkat. Ini menyentuh kepada pemerkasaan ekosistem TVET. Jerantut amat bersetuju dengan dasar ini khususnya dalam meningkatkan kebolehpasaran golongan huffaz, OKU dan pesalah juvana. Malah, TVET juga disebut di bawah penerangan strategi lain seperti menambahbaik pendidikan Orang Asli, meningkatkan taraf hidup isi rumah india berpendapatan rendah, dan lain- lain.

Kadar kebolepasaran Graduan IPT dan Institusi TVET Awam mencapat 90.2% melebihi sasaran 85%. Apatah lagi Industri HGHV Nadir Bumi akan menjadi satu agenda Anjakan Besar KSP RMK15.

Ini memberi maksud yang memang kerajaan serius dan komited untuk menaikkan TVET ke peringkat yang lebih tinggi. Dan ini adalah selari dengan strategi pemerkasaan TVET yang dilaksanakan oleh negara-negara maju contohnya Jerman.

Oleh yang demikian, Jerantut mencadangkan agar Institusi TVET Awam ini ditambah lagi dan Jerantut menawarkan dan merayu agar Institusi Tahfiz Vokasional ataupun Tahfiz TVET diwujudkan di Jerantut kerana Jerantut mempunyai 18 Maahad Tahfiz yang berdaftar dan diuruskan oleh para ulama dan mudir yang amat dihormati keilmuannya seperti Maulana Jauhari bin Mohd Ali Al-Jenderaki (Darul Ulum Sg Salan), YB Ustaz Zuridan bin Mohd Daud yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Maulana Che Wan Adli Wan Mohammad, Maulana Che Wan Helmi Wan Mohammad, Ustaz Dasuki Abdul Rani (An-Nabawi Batu Balai) dan Ustaz Dato’ Hamid bin Busu (Sg Badak).

Perbahasan saya yang seterusnya adalah mengenai meningkatkan perpaduan, pertahanan, keselamatan dan kesejahteraan, di bidang fokus e: memanfaatkan sukan dalam membina masyarakat aktif.

Umum mengetahui bahawasanya sukan adalah salah satu tonggak utama yang menyatukan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Kejayaan yang Malaysia peroleh daripada sukan skuasy, badminton, hoki, lumba basikal dan sebagainya bukan saja mengharumkan nama negara di persada dunia, juga menjadi pemangkin kepada budaya masyarakat sihat dan aktif.

Saya ingin berkongsi pencapaian yang cukup menakjubkan oleh para belia Jerantut yang telah mengharumkan nama Jerantut setelah menjadi johan Kejohanan ATSC Pahang Rugby Championship 2023. Pasukan Ragbi Jerantut yang nama lamanya adalah Jerantut Rainforest Rugby Club sekarang lebih dikenali sebagai JBOK RC iaitu akronim kepada Jerantut Bandar Orang Kacak.

Untuk pengetahuan pihak kementerian, JBOK RC ini telah melahirkan dua pemain pasukan ragbi kebangsaan iaitu Wan Mohammad Asyraf Bin Norudin a.k.a Cerap, dan Mohamad Faris Pead a.k.a Payid. Dan ramai lagi pemain-pemain JBOK RC ini yang menjadi pemain ragbi Pahang.

Oleh yang demikian, Jerantut mencadangkan agar kerajaan melalui KBS dapat mempertimbangkan untuk pembinaan satu Stadium Mini Ragbi di Jerantut dalam KSP RMK12 yang bukan sahaja yang pertama di Jerantut, malah juga yang pertama di negeri Pahang. Cadangan ini amat disokong oleh Presiden Kesatuan Rugbi Negeri Pahang (KRNP), YM Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin bin Dato’ Indera Munir.

Kalau negara Jepun yang rata-rata pemain ragbinya adalah bersaiz Asia seperti Malaysia dan sedang bertanding dalam Rugby World Cup di Perancis, tidak mustahil yang dengan salah-satu usaha ini, Malaysia akan menjadi salah satu pasukan ragbi yang akan bertanding dalam Rugby World Cup edisi akan datang dan seterusnya mengharumkan nama negara.

Kesiapsiagaan dan keupayaan dalam mengurus bencana alam.

Saban tahun kita berdepan dengan cuaca extreme yang bukan sekadar mengganggu produktiviti dan memberi kerugian kepada kerajaan, ia juga mengganggu keselesaan rakyat serta merencatkan sektor pelancongan negara.

Oleh yang demikian, kerajaan wajib mengutamakan peruntukan yang mencukupi bukan sekadar melaksanakan projek-projek pengawalan dan pemulihan hakisan pantai dan tambatan banjir, malah projek tambakan dan pedalaman sungai, penanaman semula hutan dan menggezetkan kawasan hutan sebagai konservasi flora dan fauna.

Ini selari dengan hasrat Tuanku Yang di-Pertuan Agong serta Pemangku Raja Pahang (PRP) baru-baru ini yang meluncurkan Santuari Harimau seluas 97,000 hektar dan seterusnya akan berkembang menjadi 120,000 hektar dalam masa terdekat di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling, Jerantut. Santuari ini bukan sahaja akan menjadi konservasi kepada harimau Malaya yang semakin pupus, ia juga akan menjadi konservasi kepada alam semulajadi di negeri Pahang. Santuari Harimau ini juga akan menjaminkan terjaganya sumber air bersih di Sungai Tembeling dari sebarang pencemaran.

Dan, ucapan tahniah juga harus diberikan kepada Kerajaan Negeri Kedah atas pengorbanan kerajaan negeri dalam mengekalkan dan tidak mengganggu flora dan fauna di Hutan ulu Muda agar sungai itu dapat membekalkan sumber air bersih bukan hanya kepada rakyat negeri Kedah, namun juga kepada rakyat negeri Pulau Pinang.

Akhirnya, anjakan besar tatakelola dan rangka kerja institusi perlu dimulai dengan tidak melindungi mereka yang terlibat di dalam kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Sama-sama kita hayati hadis ke-24 dari Hadis 40 Iman Nawawi (maksudnya): Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman: “Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi.” [Hadis riwayat al-lmam Muslim]

Pendakwaraya diganti reformasi pun mati,
Rakyat menilai memendam rasa,
Kalau sudah rasa tak selesa lagi,
Moh ke seberang sini jangan buang masa
. – HARAKAHDAILY 14/9/2023

Tulisan di atas adalah petikan teks ucapan Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairul Nizam Khirudin semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Dewan Rakyat pada 13 September 2023.

- Advertisement -