Pembunuhan aktivis alam sekitar meningkat dua kali ganda di Colombia tahun lalu, menjadikannya negara paling berbahaya di dunia bagi pejuang alam sekitar yang cuba melindungi planet bumi.
Dalam tinjauan tahunannya, sebuah pertubuhan bebas, Global Witness pada Selasa (12 Sept), telah menyenaraikan 177 nama pejuang tanah dan alam sekitar yang telah terbunuh sepanjang 2022 di seluruh dunia – dari Amazon hingga ke Filipina dan Republik Demokratik Congo.
Amerika Latin sekali lagi menanggung beban pembunuhan dalam jumlah paling ramai di dunia, termasuk 39 pembunuhan di hutan hujan Amazon yang luas – sinki karbon penting yang menghadapi kemusnahan yang meluas pada masa dunia sedang bergelut untuk membendung krisis iklim global.
“Jumlah mereka yang terbunuh telah menurun secara beransur-ansur sejak rekod 227 orang pada 2020; bagaimanapun, ini tidak bermakna keadaan telah bertambah baik dengan ketara,” ujar kenyataan Global Witness, lapor AFP.
“Krisis iklim yang semakin teruk dan permintaan yang semakin meningkat untuk komoditi pertanian, bahan api dan mineral hanya akan meningkatkan tekanan terhadap alam sekitar – dan mereka yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankannya,” tegas badan pemerhati yang berpangkalan di London itu dalam nada berbaur amaran.

Sementara pada 2021, kebanyakan pembunuhan terhadap pejuang alam sekitar berlaku di Mexico, kes di Colombia pada tahun lepas pula melonjak ke hadapan dengan 60 kematian – lebih satu pertiga daripada semua pembunuhan di seluruh dunia.
“Ini hampir dua kali ganda jumlah pembunuhan berbanding 2021, apabila 33 pejuang alam sekitar mati dibunuh,” tambah laporan itu.
Menurut kenyataan tersebut, ramai daripada mereka yang disasarkan adalah Orang Asli, ahli komuniti keturunan Afro, petani berskala kecil dan aktivis alam sekitar.

Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak, tiga daripadanya Orang Asli, adalah antara yang termasuk dalam statistik pengiraan global bagi senarai pejuang alam sekitar yang telah mati dibunuh.
“Namun masih ada harapan,” pertubuhan bebas tersebut, memuji usaha di bawah Presiden kiri baharu, Gustavo Petro untuk meningkatkan perlindungan bagi pembela – yang buat pertama kalinya di Colombia.
‘Sakit yang tidak dapat digambarkan’
Terdahulu, ahli sosiologi dan aktivis Colombia, Nadia Umana, 35, melarikan diri dari kediamannya selepas empat rakan sekerjanya dibunuh, yang kesemuanya berjuang untuk mengembalikan tanah luar bandar yang dirampas oleh paramilitari.

“Mengetahui bahawa rakan sekerja anda dibunuh adalah satu kesakitan yang tidak dapat digambarkan,” kata Umana kepada AFP di Bogota.
Malah Naib Presiden Colombia, Francia Marquez yang merupakan pemenang 2018 hadiah alam sekitar Goldman 2018 telah menghadapi pelbagai ancaman bunuh.
Pada 2019, beliau terselamat daripada serangan lelaki bersenjata yang cuba membunuhnya kerana usahanya mempertahankan sumber air wilayah asal terhadap sebuah syarikat perlombongan.

Wartawan British dibunuh
Menurut Global Witness, hampir 2,000 pembela atau pejuang tanah dan alam sekitar telah dibunuh sejak sedekad lalu – kira-kira 70 peratus daripada mereka adalah di Amerika Latin.
Di Brazil, negara di mana wartawan British, Dom Philips dan pakar Orang Asli, Bruno Pereira dibunuh pada 5 Jun 2022 di hutan Amazon, menjadikan sejumlah 34 pejuang dan pembela alam sekitar telah mati dibunuh di situ.
Mexico, Honduras, dan Filipina juga mempunyai jumlah yang tinggi kes pembunuhan pejuang tanah dan alam sekitar.

Global Witness berkata walaupun sukar untuk mengenal pasti punca sebenar pembunuhan itu, 10 daripadanya didapati dikaitkan dengan perniagaan tani, lapan dengan perlombongan, dan empat dengan industri pembalakan.
Selain aktivis, pegawai negeri, penunjuk perasaan, renjer taman, peguam, dan wartawan juga antara mereka yang kehilangan nyawa dibunuh.
“Semua mereka berkongsi komitmen untuk mempertahankan hak mereka dan memastikan planet bumi ini sihat.
“Kesemua mereka membayar untuk keberanian dan komitmen dalam perjuangan melindungi alam sekitar dengan nyawa masing-masing,” kata laporan itu. – HARAKAHDAILY 14/9/2023