ALLAH Taala berfirman (maksudnya): Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan, amatlah sedikit kamu bersyukur. (Surah Al-A’raf, ayat 10)
Kesihatan
Terima kasih kerana memberi peluang kepada Permatang Pauh untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali sidang khas kali ini. Saya ingin membangkitkan beberapa perkara berkaitan Kajian Separuh Penggal RMK12. Negara kita sedang menuju negara menua dan akan menjadi negara tua pada tahun 2030 dengan kadar 15%. PBB mentakrifkan bahawa:
i. Negara menua = 7% warga emas
ii. Negara tua = 15% warga emas
iii. Negara sangat tua = 20% warga emas
Jumlah warga emas yang semakin ramai ini akan muwujudkan beberapa perkara lain termasuk isu kesihatan. Menjadi persoalan adakah kerajaan akan memberikan tumpuan kepada isu kesihatan kerana ia merupakan satu isu yang pasti yang akan dihadapi oleh setiap warga emas. Apakah jaminan pihak kerajaan supaya setiap warga emas di Malaysia akan mendapat layanan dan perkhidmatan yang terbaik dalam sektor kesihatan kerana mereka adalah golongan yang perlu untuk dipelihara dan diberikan perhatian? Adakah kerajaan bercadang mewujudkan jabatan khas bagi menguruskan warga emas supaya pengurusan mereka lebih terbela?
Utama dan penghapusan
Meneliti penuh ucapan YAB Perdana Menteri semalam, dua Anjakan Utama telah diperkenalkan iaitu Rangka Kerja Institusi, Perundangan Berkaitan Rasuah.
Saya secara peribadi mengucapkan jutaan tahniah kepada kerajaan kerana telah meletakkan agenda memerangi rasuah sebagai halatuju utama kerajaan melalui KSP RMK12 ini. Menurut Transparency International, Malaysia berada pada kedudukan ke-61 pada tahun 2022, jatuh dari kedudukan ke-51 pada tahun 2019 bagi Indeks Persepsi Rasuah.
Namun timbul beberapa persoalan dan keraguan oleh rakyat diluar sana terhadap pelaksanaan dua anjakan utama ini kelak oleh Kerajaan Madani ini. Sejauh manakah tahap serius terhadap pelaksanaan dasar ini dan prinsip pihak kerajaan untuk menterjemahkan Anjakan Utama melalui tindakan? Adakah kerajaan bersedia untuk bergerak kearah lebih agresif untuk mengekang rasuah terutamanya pemberi rasuah kerana jika tiada yang memberi, pasti tiada yang menerimanya. Adakah kerajaan bersedia untuk meminda akta agar hukuman kepada pemberi perasuah dan penerima ditingkatkan? Rakyat selalu menyatakan, kerajaan hanya menangkap ikan bilis tetapi jerung-jerung dilepaskan. Adakah kerajaan juga bercadang untuk membebaskan agensi-agensi penguatkuasaaan, hatta jabatan peguam negara supaya diletakkan di bawah Parlimen. Jika ini tidak dilakukan, isu 47 kes ini akan berulang lagi dan masalah rasuah ini hanya menjadi laungan kosong sahaja.
Hal ehwal Pulau Pinang
Berkaitan isu pembesaran Lapangan Terbang Bayan Lepas dan Projek LRT yang disebutkan oleh Perdana Menteri pada isnin lalu, saya ingin membangkitkan beberapa perkara:
i. Projek-projek mega ini lebih diutamakan di sebelah pulau sahaja. Maka sudah pasti ia akan terus menjadikan bahagian pulau terus sesak dan pasti ketidakseimbangan kemajuan akan berlaku antara pulau dan seberang perai. Persoalan saya, adakah projek-projek ini hanya bertumpu di Pulau sahaja? Apakah jaminan daripada pihak kerajaan terhadap pelaksanaan projek penaiktarafan Lapangan Terbang Bayan Lepas yang akan menyebabkan kawasan sekitarnya tidak akan memberi kesan kepada kawasan penempatan yang disekitarnya?
ii. Peningkatan jumlah penumpang di Lapangan Terbang Bayan Lepas akan mencecah 20 juta pengunjung setahun. Pastinya ia akan turut mempengaruhi kemasukan lebih banyak kenderaan ke sebelah pulau. jika sekarang pun sesiapa yang mahu ke lapangan terbang Bayan Lepas pasti berhadapan dengan kesesakan lalulintas yang luar biasa bermula dari Seberang Jaya, Jambatan Pulau Pinang dan laluan sekitarnya.
Saya juga ingin mengulangi ucapan saya sebelum ini bahawa penambahan jumlah kenderaan yang memasuki Pulau Pinang akan menambahkan lagi kesesakan di kawasan Seberang Jaya yang menjadi laluan utama ke Bayan Lepas bagi penduduk di Utara Malaysia. Maka lebuh raya di Seberang Jaya dan sekitarnya juga perlu diberikan penumpuan secara khusus. Apa guna penaiktarafan Lapangan Terbang Bayan Lepas jika akses laluan kesana masih masih berada ditakuk yang lama.
Saya juga telah meneliti plan laluan LRT yang menghubungkan antara KOMTAR-Jelutong-Lapangan Terbang Bayan Lepas berakhir di pulau yang akan ditambak di selatan Pulau Pinang. Pendirian saya jelas berhubung polemik ini dan secara konsisten membantah projek tambakan tersebut yang memberikan kesan buruk yang besar kepada penduduk- penduduk di persekitaran serta menjejaskan keterjaminan makanan bagi rakyat.
YAB Tambun sendiri pada 13 Julai 2019 ketika berucap kepada nelayan-nelayan di situ melalui laporan The Star menyatakan: “saya belum tahu lagi satu kawasan pertambakan besar-besaran di seluruh dunia di mana nasib nelayan terjamin“.
Apa yang boleh difahami adalah, tiada kawasan yang ditambak secara besar-besaran memberikan impak positif kepada nelayan. Ini bermakna YAB Perdana Menteri juga sedar kesan penambakan ini akan memberi kesan negatif kepada nelayan, habitat laut dan keterjaminan makanan. Jadi apakah rasionalnya projek LRT ini yang kita lihat jajaran atau laluannya sehingga ke pulau buatan tersebut?
Hal ehwal kebajikan rakyat
Isu kehidupan rakyat sangat-sangat menekan pada ketika ini, isu harga barang yang semakin meningkat, isu rumah yang sangat mahal, isu pendidikan dan isu kesihatan perlu ditekan oleh kerajaan kerana ini antara keperluan asas yang diperlukan setiap rakyat. Jika masalah asas ini tidak diusahakan untuk diatasi, kemiskinan pelbagai dimensi akan semakin wujud. Saya mohon pihak kerajaan menumpukan kepada perkara- perkara asas ini dengan lebih berfokus dan menyeluruh.
Saya ingin bertanya pihak kerajaan berkaitan keluhan pembeli-pembeli premis yang telah membuat pinjaman perumahan/premis, telah membayar ansuran bulanan kepada bank akan tetapi rumah/premis itu lewat disiapkan bahkan kadang-kadang terbengkalai terus. Bagaimana dengan keadaan rakyat yang dizalimi seperti ini? Mereka perlu membayar hutang tersebut mengikut jadual sedangkan rumah/premisnya belum siap. Apa tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah ini? Adakah kerajaan bercadang mahu memperkenalkan konsep BKJ (bina kemudian jual) kepada rakyat agar tiada rakyat yang teraniaya? Ini juga akan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia secara umumnya.
Kebanyakan rumah kuarters kerajaan tidak dihuni oleh penjawat-penjawat awam atas beberapa sebab. Jadi ini mengakibatkan banyak kuarters kerajaan kosong dan terbiar. Adakah kerajaan mahu membentuk suatu dasar atau apa2 panduan dengan kementerian-kementerian berkaitan supaya kuarters-kuarters ini dimanfaatkan oleh agensi-agensi kementerian lain. Saya dimaklumkan banyak agensi yang memohon tanah persekutuan untuk pembinaan kuarters akan tetapi kuarters yang sedia ada dibiarkan. Ini memberikan imej buruk kpada kerajaan.
Hal ehwal Permatang Pauh
Saya juga memohon agar kerajaan mengambil perhatian kepada Permatang Pauh dalam beberapa perkara:
i. Klinik kesihatan Kubang Semang yang perlu dinaiktaraf.
ii. Balai Polis Kubang Semang juga perlu diberi nafas baru akibat terlalu uzur.
iii. Rancangan tebatan banjir Sg Perai yang perlu untuk mengelakkan banjir di kawasan Pmtg Pauh.
iv. Warga Permatang Pauh juga mengharapkan penubuhan lagi UTC di Bandar Perda dan dicadangkan di bangunan Bazar Perdana yang terbiar dan ia akan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Seberang Perai, Utara ,Tengah dan Selatan. Ini kerana UTC Kedah di Sungai Petani dan di Perak di Ipoh. UTC di KOMTAR sukar untuk dikunjungi apatah lagi parking yang agak sukar.
v. Kami warga Seberang Perai juga amat berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu laluan lebuh raya baharu yang menyambungkan Bukit Gantang ke Padang Besar melalui jajaran baru supaya pengguna lebuh raya mempunyai pilihan untuk menuju ke utara Malaysia dan sebaliknya juga dan ini secara tidak langsung akan meringankan aliran trafik di Juru hingga ke Sungai Dua termasuk di Permatang Pauh. Tiga kali dah sebut isu ini dan mengharapkan suatu tindakan dari pihak kerajaan.
Kesimpulannya: sedikit nasihat saya untuk diri saya dan semua termasuk kepada pihak kerajaan. Kita semua akan meninggal dunia juga suatu hari nanti, tiada yang menongkat langit. Jadi, pesanan saya, tadbirlah dengan jujur dan adil. Jika mentadbir dengan adil, Allah akan memberikan ganjaran yang terbaik di akhirat nanti, jika sebaliknya, Allah Taala maha melihat segala yang kita lakukan.
Rakyat sedang menanti penyelesaian tuntas dan segera daripada pihak kerajaan. Selesaikanlah isu-isu rakyat terutamanya isu kos harga barang yang sangat-sangat menekan majoriti rakyat Malaysia sekarang terutama isu beras tempatan yang banyak disebut oleh ahli parlimen. Tumpulah kepada permasalahan besar rakyat ini dengan cara yang sepatutnya ia diselesaikan. Rakyat sudah penat dengan wayang-wayang tiada berpenghujung seperti ini. – HARAKAHDAILY 14/9/2023
Tulisan di atas adalah petikan teks ucapan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Dewan Rakyat pada 13 September 2023.