Dasar Gaji Progresif diumum ketika model belum ada

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belum pun ada model yang lengkap mengenai Dasar Gaji Progresif, namun kerajaan PH-BN sudah mengumumkan akan melaksanakan skim terbabit.

Lebih mencelarukan lagi skim gaji minimum yang dilaksanakan sebelum ini masih berdepan dengan banyak kekangan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sehingga sekarang belum ada model dasar gaji progresif, namun kerajaan sudah mengumumkan.

Sedangkan katanya, gaji minimum yang dilaksanakan sejak 2016 belum lagi selesai sepenuhnya sehingga sekarang.

“Masih ramai pekerja kebersihan, kantin dan keselamatan di sekolah belum lagi menerima gaji minimum seperti yang ditetapkan kerajaan.

“Adalah wajar kerajaan membayar mereka gaji minimum yang masih tertunggak sehingga sekarang,” katanya ketika membahas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan memperkenal Dasar Gaji Progresif, di mana sektor swasta menaik gaji tahunan pekerja.

Menurutnya, ia relevan dengan keadaan semasa inflasi seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara, di samping kerajaan menawarkan insentif kepada majikan.

Bagaimanapun Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dalam laporan media sebelum ini mengakui wujud kekangan untuk melaksanakan gaji progresif.

Katanya, Singapura hanya melaksanakannya setelah membuat kajian selama lima tahun dan dilaksana membabitkan tiga sub sektor sahaja.

Wan Saiful juga berkata, ada syarikat didakwa di mahkamah oleh Jabatan Tenaga Kerja kerana tidak melaksanakan skim gaji minimum.

“Ada syarikat tidak mampu melaksanakan skim gaji minimum kerana ia menjejaskan prestasi syarikat terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, Dato’ Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, rakyat melihat kerajaan sekarang tidak konsisten dalam membuat banyak keputusan.

Katanya, pemimpin kerajaan cakap lain dan buat lain sehingga dianggap rakyat sebagai flip flop.

Beliau juga berkata, pendaratan minyak dan gas yang dilarikan dari Kelantan ke Songkhla di Thailand akhirnya diakui kerajaan.

“Biarpun ada pegawai menyebut perkara itu dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun ia menjelaskan perkara itu benar-benar berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

- Advertisement -