KUALA LUMPUR: Kerajaan yang mentadbir negara pada masa ini, perlu melihat masalah bekalan beras putih tempatan kepada negara atau beras import sebagai isu penting.
Ahli Parlimen Temerloh dari PERIKATAN NASIONAL (PN), Salamiah Mohd Nor berkata, demikian mengulas isu kenaikan harga beras yang diumumkan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 1 September lalu yang telah memberi impak kepada rakyat.
“Harga beras putih import telah melonjak naik daripada RM33 kepada RM39. Baik beras yang diimport atau beras keluaran tempatan, adalah merupakan sumber makanan utama rakyat di negara ini dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak,” katanya.
Menurut beliau, sokongan daripada kerajaan madani pada masa kini amat diperlukan demi memastikan usaha pengeluaran padi tempatan untuk negara dapat diteruskan.
“Oleh itu, sewajarnya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu perlu bertindak segera mengatasi masalah ini daripada berlanjutan.
“Sekitar 2021, beras tempatan tiada permintaan. Semua mencari beras import disebabkan harga beras import tidak jauh berbeza. Harga beras import pada masa sekarang (beza) RM26 dengan RM39.
“Hal ini telah menjadi satu fenomena di mana semua orang akan mencari beras tempatan, menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit,” jelasnya.
Tambah Salamiah, BERNAS telah menyatakan bahawa kenaikan harga beras import yang diumumkan pada 1 September lalu berikutan beberapa faktor.
Antaranya, faktor luaran seperti iklim yang tidak menentu dan kadar pertukaran mata wang yang lemah, secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global dan ditambah pula dengan kesan larangan pengeksportan beras putih diumumkan India baru-baru ini.
Dengan mengambil kira perkembangan itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood telah mengumumkan bahawa langkah perlu diambil bagi meningkatkan pengeluaran beras putih tempatan, sekali gus menampung keperluan pengguna dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
Terengganu pecah monopoli kartel beras
Namun begitu, Salamiah turut memuji tindakan negeri Terengganu yang telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengeluarkan beras sendiri dengan mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP menerusi jenama Beras Ganu.
“Tindakan Terengganu itu telah memecah kartel beras adalah satu usaha terbaik dengan mengeluarkan beras putih tempatan.
“Harga beras hanya kira-kira RM 12.90 untuk 5kg. Hal ini merupakan usaha terbaik untuk menampung keperluan rakyat sendiri serta berkongsi dengan negeri jiran yang memerlukan,” tegasnya kepada HarakahDaily.
Dengan ini, beliau turut mencadangkan agar kerajaan madani sewajarnya turut membantu negeri yang mengusahakan pengeluaran padi dengan memberikan subsidi dan bantuan yang diperlukan oleh para petani.
“Sokongan daripada kerajaan madani amat diperlukan demi memastikan usaha pengeluaran padi tempatan untuk negara dapat diteruskan.
“Banyak kawasan atau tanah yang sesuai perlu diteroka untuk penanaman padi domestik dengan kaedah teknologi canggih. Dengan itu, negara kita tidak perlu lagi mengimport beras daripada negara luar pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023