Bukan lagi tatakelola sebaliknya ‘tatakelaut’

Foto Jabatan Penerangan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangkang tidak yakin usaha reformasi yang sering dilaungkan pemimpin kerajaan PH-BN menjadi kenyataan dengan mengambil kira apa yang berlaku sekarang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, apa yang sering disebut Perdana Menteri untuk melakukan reformasi terhadap tatakelola pentadbiran tidak berlaku seperti diharapkan.

- Advertisement -

Katanya, perkara itu seperti disentuh lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Rancangan Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) tidak diyakini mampu menjadi kenyataan.

“Bukan lagi tatakelola yang baik, sebaliknya boleh disebut sebagai ‘tatakelaut’,” katanya pada sesi perbahasan KSP RMK12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, tatakelola yang baik bermakna menegakkan sistem keadilan yang benar-benar bebas daripada campur tangan kerajaan.

Katanya, pelepasan seorang pemimpin kerajaan terhadap 47 kes tuduhan rasuah menjejaskan moral negara pada pandangan pelabur asing.

“Mereka menyifatkan Malaysia seperti negara dunia ketiga yang bergelumang dengan isu-isu rasuah,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan sekarang menghentikan pendakwaan terpilih atas alasan isu 3R (raja, agama dan kaum) terhadap pemimpin pembangkang.

“Saya berkali-kali disiasat polis kerana menyuarakan keresahan orang Melayu dan Islam.

“Sedangkan pemimpin kerajaan yang berucap menyentuh isu serupa tidak disentuh biar pun berpuluh-puluh laporan polis dibuat,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyifatkan dasar kerajaan sekarang lebih teruk berbanding dengan era penjajah. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

- Advertisement -