Pilih pegawai sesuai di posisi yang munasabah

Wisma Darul Iman.
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 84)

- Advertisement -

SUATU hari, Umar al-Khattab ra berkata kepada para sahabatnya sambil meminta pandangan mereka untuk memilih seorang pegawai:

إذا كان في القوم كان كأنه واحد منهم

“Kalau dia berada dalam kalangan mereka, seolah-olahnya dia salah seorang dari mereka.”

Mereka berkata: Kami melihat orang yang ada sifat ini ialah Ar-Rabi’ bin Ziad Al-Harithi. Kami cadangkan beliau.

Umar melantik Ar-Rabi’ menjadi ketua mereka. Beliau menjalankan tugasnya dengan baik.

Dalam situasi yang lain, Umair bin Said berkata: Sentiasalah Islam itu teguh selama mana sultan itu teguh. Bukanlah kehebatan sultan itu membunuh dengan pedang, atau memukul dengan tongkat, tetapi ia berlaku dengan berhukum dengan sebenar, dan memerintah dengan adil.

Umar berkata: Aku suka jika aku ada pegawai seperti Umair bin Said, agar aku dapat meminta bantuan daripadanya mengurus orang Islam. (Al-Bayan al-Fasil baina al-haq wal-batil, Ali Fikri ms 196)

Dari kisah di atas, beberapa panduan dapat diambil:

1. Umar meminta pandangan para sahabat yang lain untuk melantik seseorang pegawai. Umar pun sebenarnya sudah cukup hebat. Beberapa ayat al-Quran turun menjelaskan perkara sebenar, kesan dari pandangan Umar seperti hukum minum arak dan mengenai tawanan perang.

Namun, apabila Umar meminta pandangan tentang perlantikan seseorang untuk sesuatu jawatan, ia menunjukkan sikap terbuka Umar menerima apa-apa pandangan dari orang lain. Boleh jadi ada sudut pandang yang dilihat oleh orang lain, tidak dilihat oleh Umar. Lagipun tiada nas ayat al-Quran dan Sunnah mengenainya.

Dalam konteks semasa, kerajaan negeri Terengganu meletakkan nama-nama baharu di posisi tertentu. Exco juga berubah portfolio. Semoga Allah membantu dan memudahkan urusan semuanya.

2. Umar melantik Ar-Rabi’ bin Ziad al-Harithi yang memiliki ciri-ciri yang dikehendaki oleh Umar. Para pembaca boleh membuat sedikit kerjarumah dengan menyemak biodata dan latarbelakang Ar-Rabi’ yang hebat ini, sehingga Umar memilihnya selepas dicadang oleh para sahabat yang lain.

3. Kata-kata Umair bin Said juga patut diteliti. Islam teguh apabila kepimpinan sebuah negeri atau negara itu teguh. Ia teguh kerana iman, adil untuk semua, tidak mendiskriminasi rakyat atau negeri yang tidak dimenanginya dalam pilihanraya.

Ciri-ciri seperti inilah yang sangat didambakan dalam kepimpinan tertinggi sesebuah negeri dan negara. Dalam sejarah Islam, ia pernah ada. Dalam dunia akhir zaman ini, sangat bertuah bagi negeri atau negara jika pemimpin yang bersifat begini masih ada. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah, Badan Perhubungan PAS Terengganu.

- Advertisement -