‘Gelombang Hijau’ sebenar menunggu di DUN Pelangai

KEPUTUSAN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor telah pun diketahui. Benar, Pakatan Harapan yang mempertaruhkan calon dari PAN telah menang mempertahankan kedua-dua kerusi milik mereka itu mengalahkan cabaran dari calon PN-BERSATU di Pulai dan PN-PAS di Simpang Jeram.

PERIKATAN NASIONAL memasuki pertandingan PRK berganda ini dengan penuh pengetahuan  bahawa komposisi pengundi mengikut kaum di kedua-dua kerusi ini hakikatnya bukanlah mudah buat PN. Di Pulai, peratus Melayunya cumalah 44.17 peratus manakala di Simpang Jeram sekitar 52 peratus. Rata-rata ikut rekod sama ada di Parlimen mahupun DUN, PN tidak pernah memenangi kerusi yang komposisi kaumnya seumpama ini.

Lalu agak meleset kiranya ada para penganalisa dan pemerhati politik yang menganggap keputusan dua PRK ini menandakan kononnya PN telah hilang pengaruh apatah lagi cuba membina persepsi kononnya ‘Gelombang Hijau’ gagal berpijak di Negeri Johor.

Sedangkan beberapa bulan lepas, dalam Pilihan Raya Negeri untuk negeri, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, PN telah menunjukkan prestasi luar biasa sehingga kukuh mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah, menafikan PH dua pertiga majoriti di Selangor dengan 22 kerusi dan menang 11 kerusi di Pulau Pinang serta 5 kerusi di Negeri Sembilan.

Menurut kajian Dr Zuhdi Marzuki, PN berjaya mengaut 70 peratus undi Melayu di Negeri Sembilan dan Selangor dalam PRN berkenaan manakala baki empat negeri ia meraih 80 peratus sokongan pengundi Melayu.

Ini menurut Dr Zuhdi lagi satu peningkatan besar sedangkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022, PN cuma memperolehi purata 54 peratus sokongan pengundi Melayu dan 70 peratus di negeri-negeri Utara Semenanjung dan Pantai Timur.

Sesungguhnya dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram, menurut rekod PN berjaya mengaut 75 peratus undi dari pengundi Melayu yang keluar mengundi, dan ini membuktikan yang Melayu Johor tidak bersama PH-BN tetapi memihak pada PN.

Ini selaras dengan kajian ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil yang menyatakan bahawa 8 dari 10 ataupun 80 peratus pengundi Melayu di PRK Pulai dan Simpang Jeram telah mengundi calon PERIKATAN NASIONAL.

Kata Isham hampir 9 dari 10 penyokong yang mengundi BN sebelum ini tidak mengundi PH dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram. Mereka sama ada tidak keluar mengundi atau telah mengundi calon PN.

Ternyata para penyokong setia Umno berat mahu menyokong dan memangkah calon dari PH yang didominasi DAP. Stigma politik Melayu terhadap DAP tidak mudah ditepis.

Lalu benarkah ‘Gelombang Hijau’ gagal membadai di Pulai dan Simpang Jeram?

‘Gelombang Hijau’ ini sebenarnya bukan gelombang PAS sebagaimana yang mahu dijolok dan digambarkan oleh DAP dan sekutunya bagi kononnya menakut-nakutkan rakyat bukan-Melayu.

Kalau menurut Dr Zuhdi, ianya menjurus kepada gelombang kesedaran dan kecenderungan pengundi-pengundi Melayu untuk mengundi secara terarah kepada calon-calon PN.

Bagi saya ia bermaksud gelombang kesedaran politik umat Melayu Islam yang selama ini tidak pernah bersatu dalam menzahirkan sokongan politik mereka. Puluhan tahun sebelum ini sokongan politik Melayu berpecah-pecah khasnya antara menyokong Umno ataupun PAS. Kemudian datang dan masuk pelbagai parti baru, PKR, PAN, BERSATU yang juga sebahagian besarnya ‘Malay based’.

Gelombang Hijau adalah manifestasi kecenderungan politik orang-orang Melayu secara ‘enbloc’ bangkit atas pengalaman dan kesedaran menolak politik Umno, PKR dan PAN serta secara terbuka dan berani menyatakan sokongan pada PN yang didukungi PAS dan BERSATU.

Orang-orang Melayu berdasarkan beberapa perkembangan politik kebelakangan ini melihat Umno, PKR dan PAN telah mengecewakan mereka. Umno tidak lagi memperjuangkan nasib dan masa depan mereka sebaliknya lebih menumpukan pada agenda peribadi pimpinan tertinggi mereka yang bermasalah. PKR dan PAN pula dilihat menggadaikan prinsip perjuangan Melayu apabila bersekongkol dengan DAP, kini PH-BN pun sudah berpelukan bersama DAP.

‘Gelombang Hijau’ tidak banyak berbeza dengan ‘Gelombang Merah’ yang tidak pula banyak disebut tetapi sesungguhnya adalah gelombang yang dicipta DAP untuk menyatukan sokongan politik masyarakat bukan-Melayu, khasnya para pengundi Cina.

Sebelum ini masyarakat Cina secara tradisinya menyokong MCA dan GERAKAN, mereka melihat DAP ekstrem, namun sejak 2008, mereka berubah selera dan mula cenderung pada DAP yang mereka lihat lebih bertenaga dan mampu memperjuangkan nasib kelompok mereka.

DAP telah kemukakan caturan politik yang lebih menarik, iaitu kekuatan mereka mampu mengawal dan dominan terhadap sekutu mereka dari kalangan parti Melayu yang sanggup berjuang bersama mereka demi kuasa dan kedudukan.

Jadi kalau masyarakat bukan-Melayu khasnya golongan Cina boleh ditakut-takutkan oleh DAP terhadap kononnya ancaman ‘Gelombang Hijau’, maka wajar juga pimpinan politik Melayu menyatakan secara terbuka ancaman ‘Gelombang Merah’ ini buat masa depan umat Melayu dan negara.

Kesungguhan DAP mahu perjuang dan pertahankan gagasan ‘Malaysian Malaysia’ dan konsep sekularisma, adalah bukti betapa besarnya ancaman DAP pada politik dan masa depan umat Melayu Islam.

Selepas ini akan berlaku pula PRK di DUN Pelangai, Pahang yang peratus pengundi Melayunya mencecah 74.19 peratus. Ini kerusi tradisional Umno sejak Merdeka, dengan 3 tanah rancangan FELDA di dalamnya, namun dengan kekuatan ‘Gelombang Hijau’ yang kini melanda seluruh pelosok bumi Semenanjung,

Pelangailah menjadi ukuran sebenar kuat atau tidak gelombang ini.

Dalam PRU ke-15 lalu PN menang 17 dari 42 kerusi DUN di Pahang, adakah mereka mampu menyemarakkan gelombang kesedaran politik umat Melayu ini di bumi Bentong pula? Pelangai bukan macam Pulai atau Simpang Jeram, yang peratusan pengundi bukan-Melayunya besar.

Inilah medan sebenar buat BN dan PN, buat Umno dan PAS.

Menurut Isham Jalil lagi, dengan perkembangan terbaru ini pasca PRK Pulai dan Simpang Jeram, tahap sokongan Melayu sudah menjadi 80:20 iaitu 80 menyokong PN. Kiranya trend ini berterusan katanya Umno akan kalah semua 26 kerusi Parlimennya dan bakal lenyap.

Mungkinkah ia bermula di PRK Pelangai nanti?

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 13/9/2023

Advertisement