Perlis kekal 20 peratus pengeluaran beras tempatan

ARAU: Kerajaan negeri menetapkan supaya 20 peratus daripada jumlah pengeluaran beras di Perlis yang dibeli pemborong padi hendaklah terus kekal di negeri itu.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri Razali Saad berkata, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan beras keperluan tempatan mencukupi.

Katanya perkara itu dibincang pada pertemuan dengan pemain-pemain industri beras di negeri itu.

“Untuk permulaan kita adakan pertemuan dengan Pengarah Urusan Dibuk Sdn Bhd Marzukhi Othman ke arah merealisasikan Beras Padi Perlis.

“Perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperhalusi perancangan tersebut. Selepas ini kita akan adakan perbincangan lanjut dengan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli,” katanya di sini.

Sebelum ini kerajaan Terengganu mengeluarkan beras jenama sendiri yang mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP menerusi jenama Beras Ganu.

Malah Kelantan turut mengeluarkan beras Gantang Baghdah sejak beberapa tahun lepas selaras sukatan diamalkan pada awal tamadun Islam.

Razali juga berkata, krisis beras yang melanda negara sekarang tidak boleh dipandang ringan dan ia perlu diambil tindakan segera kerajaan pusat. – HARAKAHDAILY 13/9/2023