Haru biru jika ubah hala tuju RMK12

Foto Jabatan Penerangan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengubah tema Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sedangkan ia merupakan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12.

Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, pihaknya terkilan mendengar ucapan Ahli Parlimen Tambun itu mengenai slogan, Malaysia Madani: Mampan Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi.

- Advertisement -

RMK12 dilaksanakan bagi tempoh antara tahun 2021 hingga 2025 menetapkan hala tuju strategik bagi mencapai objektif keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan oleh kerajaan sebelum ini.

“Rancangan ini merupakan tali yang saling kait mengait dan lengkap melengkapi antara satu sama lain secara konsisten, dasar kerajaan tidak boleh terpisah dengan dasar sebelum ini.

“Perlu ada kesimambungan dan nilai istiqamah walaupun berbeza pegangan politik demi memastikan negara kekal berada pada landasan tepat untuk menuju ke matlamat yang sama,” katanya ketika perbahasan KSP RMK12 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang PN menjelaskan bahawa KSP RMK12 yang dibentangkan semalam bertujuan bagi kerajaan membuat penilaian sama ada sasaran awal bagi rancangan tersebut sudah tercapai atau tidak.

Beliau berkata, jika terdapat beberapa penyesuaian atau penambahbaikan yang perlu dilaksanakan, kerajaan yang ada hari ini tidak boleh menafikan kejayaan lalu.

Kerajaan dikemudi oleh mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga 2022 menggarap Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 berjaya mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.9 peratus setahun.

“Sebagai contoh, kita perlu tegaskan bahawa KSP ini tidak boleh bersifat mahu mengubah keseluruhan hala tuju RMK12 yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Jika ini cuba dilakukan, ia akan menimbulkan suasana haru biru bagi penjawat awam sebagai badan pelaksana tambahan pula data dibentangkan bukti kejayaan kerajaan PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2023

- Advertisement -