KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam mendapat perhatian Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) apabila Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) menegur campur tangan melampau dalam perkhidmatan awam di bawah pentadbiran kerajaan Madani.
Menurutnya, campur tangan kerajaan dalam perkhidmatan awam seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sangat jelas.
“Kalau pengamatan saya, perkhidmatan awam di bawah kerajaan Madani, saya lihat campur tangan kerajaan yang agak melampau seperti SPRM.
“Kalau dulu kita lihat SPRM bertindak begitu terbuka dan saya ucap syabas kepada kerajaan sebelum ini yang memberi ruang seluas-luasnya kepada sektor kehakiman, SPRM dan seumpamanya menjalankan tugas dengan teliti dan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi bertanyakan ketua pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut mengenai kesan campur tangan dalam perkhidmatan awam terhadap ekonomi negara.
“Adakah Ahli Parlimen Larut bersetuju bahawa campur tangan ini yang menyebabkan sektor ekonomi negara kita pun jadi terumbang ambing dan pelabur pun terkesan dengan campur tangan ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2023