Syed Saddiq pertahankan Awang Hashim

Foto Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar yang kini berada di pihak pembangkang mempertahankan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang didesak Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) supaya menarik balik perkataan ‘kerajaan pembohong’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bingkas bangun membaca Peraturan 36(6) bahawa Awang tidak menujukan kritikannya terhadap mana-mana ahli Dewan Rakyat.

Advertisement

Sebaliknya, beliau membidas kerajaan kerana melakukan pembohongan terbesar di peringkat nasional berhubung isu melawan rasuah.

“Peraturan 36(6) mengatakan seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain. Kita tidak menujukan kritikan ke atas orang ahli.

“Tetapi kerajaan secara keseluruhan kerana realitinya ini adalah pembohongan terbesar peringkat nasional, sebelum ini kata nak lawan rasuah, takkan gugurkan kes, akan penjarakan kleptokrat (tapi) hari ni bebaskan mereka,” katanya pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang ‘dibisukan’ dalam Dewan Rakyat dan jika tidak boleh mengkritik kerajaan, bagaimana mahu membicarakan soal rakyat.

“Walhal pada 2015, 70 Ahli Parlimen dalam dewan ini sendiri di blok pembangkang, membicarakan soal keputusan hakim di mahkamah, 1MDB, serangan ke atas Peguam Negara, semua mereka bangkitkan, (tetapi) kini apabila berada dalam kerajaan, hipokrit,” katanya.

Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mencelah dengan mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq dan menggelar dirinya sebagai hero rakyat Malaysia susulan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan memilih menjadi pembangkang.

“Saya nak ucap tahniah kepada Muar, hero rakyat Malaysia sekarang adalah Muar,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2023