‘Roket’ Tchouameni kekalkan rekod bersih Perancis

Sepakan persis roket oleh Aurélien Tchouameni (kanan) dari jarak 18 meter sukses menembusi gawang gol Ireland pada minit ke-19 dalam pusingan kelayakan ke kejohanan Euro 2024 di Paris, Perancis pada 8 Sept 2023. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

PARIS: Sepakan padu persis kelajuan roket oleh Aurélien Tchouameni dari jarak 18 meter, hasil tolakan mudah daripada Kylian Mbappe yang berhasil menembusi gawang gol Ireland pada minit ke-19 menyaksikan Perancis berjaya mengekalkan rekod bersihnya.

Kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan yang disertainya setakat ini dalam misi melayakkan diri ke kejohanan Euro 2024, yang menjadikan Perancis berada dalam kelasnya tersendiri itu direalisasikan menerusi kemenangan bergaya 2-0 ke atas Ireland pada awal pagi (8 Sept) tadi.  

- Advertisement -

Selain jaringan cantik Tchouameni, Les Bleus melakar kemenangan melalui jaringan pemain  gantian, Marcus Thuram dalam perlawanan yang didominasi sepenuhnya oleh barisan tengah Perancis itu, lapor Reuters.

Gol kedua perlawanan hadir menerusi Thuram yang masuk ke gelangang menggantikan penyerang sensasi  Perancis, Olivier Giroud yang  terpaksa dikeluarkan akibat tercedera.

Gol kedua tersebut turut menyaksikan Thuram berjaya mencipta rekod jaringan pertamanya bersama Perancis setelah tampanan pertahanan hasil sepakan sempurna Kylian Mbappe.

“Saya sepatutnya jaringkan satu lagi gol (namun tidak berjaya), tetapi saya berharap saya dapat lakukan di perlawanannya seterusnya,” kata Thuram, yang  merupakan anak kepada bekas pemain bola sepak Perancis, Lilian Thuram yang menyumbang 2 gol dalam membantu Les Bleus mengalahkan Croatia dalam perlawanan separuh akhir, sebelum pasukan menjuarai Piala Dunia 1998 mengalahkan Brazil 3-0 dalam perlawanan akhir.

Sementara itu, penjaga gol mereka Mike Maignan mereka turut menampilkan aksi cemerlang apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos setakat ini dalam kempen kelayakan termasuk aksi menepis rembatan Chiedozie Ogbene dalam perlawanan tersebut.

Perlawanan yang didominasi penuh oleh mereka ini menyaksikan terdapat beberapa cubaan lain daripada pemain namun gagal untuk menembusi gawang gol Ireland

Antaranya rembatan kencang Tchouameni yang diselamatkan penjaga gol Ireland, Gavin Bazunu, selain pemain sayap lincah, Ousmane Dembele turut terlepas peluang apabila rembatannya terkena tiang gol.

Sedar dengan kebanjiran pemain bintang dalam skuad mereka, Deschamps turut menjadikan perlawanan ini sebagai peluang untuk pemain gantian mendapatkan minit permainan apabila memasukkan Kingsley Coman dan William Saliba bagi menggantikan Ousman Dembele dan Lucas Hernandez, sebelum Eduardo Camavinga dan Benjamin Pavard masuk menggantikan Antoine Griezmann dan Jules Kounde. 

Kemenangan ke atas Ireland itu merupakan yang  kelima buat Perancis bagi menerajui kumpulan B di saingan tersebut dengan mata terkumpul sebanyak 15 mata maksimum, sembilan mata di hadapan Belanda di tangga yang kedua yang turut melakar kemenangan ke atas Greece 3-0 dengan kelebihan berbaki dua perlawanan.

“Ini adalah perkembangan yang baik walaupun sukar. Kita masih belum layak namun setakat ini pasukan telah menunjukkan aksi yang baik sepanjang kempen ini. 

“Bukan mudah untuk mengadaptasikan masalah yang berlaku di dalam perlawanan ini dan seharusnya kita menjaringkan lebih banyak gol,”  kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps selepas perlawanan.

Perancis dijadualkan bertemu Jerman di Dortmund pada Selasa (12 Sept) ini dalam siri perlawanan persahabatan sebelum meneruskan kempen kelayakan bertemu Belanda pada 13 Oktober ini di gelanggang lawan. – HARAKAHDAILY  8/9/2023

- Advertisement -