PASTI: Tawar akses pendidikan dan kualiti silibus 

Untuk pembangunan keluarga Islam

- Advertisement -

MENURUT laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Bank Dunia bertajuk ‘Shaping First Steps: A Comprehensive Review of Preschool Education in Malaysia‘, prasekolah yang ditubuhkan di bawah kerajaan iaitu tadika di bawah KPM, KEMAS dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) berjumlah 64 peratus daripada jumlah keseluruhan dan selebihnya diuruskan di bawah institusi swasta. 

Data ini menunjukkan bahawa, walaupun kebanyakan ibu bapa di Malaysia masih menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan bagi pendidikan rendah dan menengah, namun akses kepada pendidikan prasekolah masih lagi terhad kerana sekolah tadika yang disediakan kerajaan tidak mencukupi bagi menampung jumlah kanak-kanak yang ada. 

Hal ini menyebabkan ibu bapa yang kurang berkemampuan menghadapi dilema kerana dalam keadaan ekonomi hari ini, kos untuk menghantar anak ke sekolah tadika swasta sangat tinggi dan jarang bantuan disediakan untuk rakyat bagi tujuan tersebut. Sekiranya keadaan ini tidak ditangani, lebih ramai kanak-kanak yang berisiko untuk berdepan dengan masalah keciciran pembelajaran jika mereka masih tidak boleh menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) sebelum mendaftar ke Tahun 1. 

Dalam hal ini, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah lama memainkan peranan menjadi salah satu rakan strategik kerajaan bagi menjayakan sasaran 100 peratus enrolmen merentas semua peringkat pendidikan termasuklah pada tahap prasekolah menjelang tahun 2020 yang telah dirangka dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025. PAS telah mengambil tanggungjawab ini bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan mendapat hak pendidikan sama rata dengan kanak-kanak yang lain. Yuran yang ditawarkan PASTI adalah berpatutan dan jauh lebih rendah daripada harga yuran tadika swasta yang lain. 

Di kebanyakan premis PASTI, selain daripada yuran bulanan, tidak semua kos perlu ditanggung oleh ibu bapa. Dalam penganjuran program seperti Hari Sukan PASTI dan juga Alam Ria PASTI (iaitu sebuah program tahunan berbentuk pertandingan), PASTI sering kali menggunakan khidmat dan tenaga ahli parti seperti Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ameerah Malaysia, Jabatan Amal dan banyak lagi tanpa sebarang bayaran. Inilah istimewanya PASTI yang menjadikan institusi ini terus bertahan tanpa pembiayaan daripada kerajaan dan rakyat masih memilih PASTI walaupun mengetahui bahawa PASTI adalah milik parti politik.

Selain itu, asas ilmu agama dan pembentukan jati diri sejak dari prasekolah amat penting bagi membenteng anak-anak ini daripada pengaruh dan gaya hidup masyarakat Barat. Kualiti pendidikan yang ditawarkan merangkumi aspek sahsiah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan sangat membantu ibu bapa untuk pembangunan keluarga Islam yang baik. Berbanding dengan tadika swasta yang lain, tidak sukar untuk PASTI ditubuhkan di luar bandar atau kawasan pedalaman kerana permintaan terhadap kualiti pendidikan berteraskan Islam yang ditawarkan sangat tinggi. 

Justeru, saya menyeru kepada semua pihak untuk berhenti mempolitikkan fungsi dan peranan PASTI dalam masyarakat. Walaupun PASTI ditubuhkan di bawah sebuah parti politik, perjalanannya bukan berpaksikan politik kepartian, tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial PAS dalam memenuhi keperluan rakyat dan melengkapkan usaha kerajaan dalam bidang pendidikan, sekali gus penyumbang penting kepada pembangunan keluarga yang holistik. Sumbangan PASTI wajar diiktiraf kerana peluang pendidikan prasekolah yang ditawarkan merentasi faktor sosioekonomi dan lokaliti. 

YB USTAZ DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Keluarga PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 8/9/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -