‘Magis’ Messi benam Equador 

Lionel Messi kelihatan teruja bersama-sama rakan pasukannya, Argentina yang berjaya mengalahkan Ecuador dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 pada 8 Sept 2023. (FOTO: ESPN)

BUENOS AIRES: Pemenang anugerah Ballon d’Or terbanyak, Lionel Messi mempamerkan ‘magis’nya apabila jaringannya pada separuh masa kedua membantu Argentina memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan menerusi kemenangan ke atas Ecuador 1-0, pagi (8 Sept) tadi.

Pasukan yang menjulang Piala Dunia tahun lalu itu mendominasi penguasaan bola sepanjang permainan, namun mengalami sedikit kesukaran di bahagian serangan apabila percubaan demi percubaan gagal membuahkan hasil.

Walau bagaimanapun, Messi selaku kapten kesayangan pasukan itu meneruskan aksi cemerlangnya dengan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-77 permainan, lapor Reuters.

Advertisement

“Kita bertemu sebuah pasukan yang baik, dengan pemain-pemain yang bagus dan mempunyai fizikal badan yang kuat,” ujar Messi kepada media.

“Semua pasukan ingin menewaskan Argentina, apatah lagi dengan status kami sebagai juara dunia. (Oleh itu), kita tidak boleh lalai dan perlu memperbaiki perkara yang telah kita lakukan”.

“Objektif kami adalah untuk layak ke Piala Dunia seperti sebelum ini. Kami sangat bersyukur dengan apa yang kami telah capai, namun perlu bersedia untuk cabaran mendatang”

Jaringan Messi itu turut menyaingi rakan seperjuangannya di Barcelona sebelum ini, Luis Suárez dari Uruguay, bagi rekod penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dalam kempen kelayakan Piala Dunia bagi zon Amerika Selatan dengan 29 Gol.

“Saya cukup gembira apabila kami bersama-sama berada dalam senarai”, kata Messi yang telah menjaringkan 104 gol di peringkat antarabangsa untuk Argentina. 

“Ia adalah sesuatu yang bagus untuk kami berdua memandangkan kempen kelayakan ini merupakan kejohanan yang cukup bermakna bagi bola sepak Amerika Selatan,” tambahnya yang bakal bersama pasukan Argentina yang dijadualkan bertemu Bolivia pada Selasa (12 Sept)  ini.

Sementara itu, dalam perlawanan kelayakan yang lain, Paraguay mengikat Perú 0-0 sementara Colombia berjaya menewaskan Venezuela dengan jaringan 1-0 di laman sendiri.

Pusingan pertama kelayakan Piala Dunia bagi zon Amerika Selatan bakal bersambung esok, yang mana pasukan Uruguay bakal bertandang ke Chile, sementara pasukan diminati ramai, Brazil, bakal bertemu Bolivia.  – HARAKAHDAILY  8/9/2023