Helikopter terhempas di lautan Dubai: 2 juruterbang hilang

Sebuah model helikopter syarikat AeroGulf. (FOTO: Masala.com)
- Advertisement -

DUBAI: Sebuah helikopter dilaporkan terhempas di tengah laut Dubai, dengan dua juruterbangnya dilaporkan hilang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Dubai dalam kenyataannya pada hari ini, Jumaat (8 Sept) berkata, model helikopter yang dikenalpasti ialah jenis Bell 212 yang mampu memuatkan sehingga 14 penumpang dan seorang juruterbang; namun belum memberitahu lokasi spesifik insiden itu berlaku. 

- Advertisement -

“Helikopter yang dikemudi oleh dua  juruterbang masing-masing warga negara Mesir dan Afrika Selatan  itu b berlepas pada malam Khamis (7 Sept)  dari Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, Dubai,” ujar kenyataan itu lagi, lapor AP News.

Sementara, menurut syarikat pemilik helikopter tersebut, AeroGulf, penerbangan tersebut merupakan operasi rutin latihan dari lapangan terbang Al Maktoum ke pelantar minyak,  yang mana Dubai terkenal lambakan pelantar minyak di tengah Teluk Parsi.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan dan kami akan melakukan sehabis baik bagi mengumpul maklumat secepat yang mungkin.” 

“Buat masa ini, kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” jelas AeroGulf dalam satu kenyataan.

AeroGulf merupakan syarikat pengendali helikopter komersial pertama di Dubai yang ditubuhkan pada awalnya bagi menjalankan operasi pengangkutan industri pelantar Minyak dan Gas dan kini turut menawarkan servis fotografi udara.

Memetik daripada agensi berita rasmi WAM, pasukan penyelamat telah menemui serpihan helikopter yang terhempas namun masih dalam misi mencari dua  juruterbang yang hilang tersebut. – HARAKAHDAILY  8/9/2023

- Advertisement -