Nik Abduh dilantik senator wakili Kelantan

Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili Kelantan.

Beliau dipilih sebagai senator bagi menggantikan Mohd Apandi Mohamad yang tamat tempoh perkhidmatannya pada Julai lalu.

- Advertisement -

Namanya dicadang Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan disokong Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohammed Fadzli Hassan.

Terdahulu Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah mengumumkan usul Pemilihan Ahli Dewan Negara.

Sementara itu Nik Abduh berkata, beliau tidak menjangka akan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Kelantan.

“Saya bersyukur dan berikrar akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin,” ujarnya ketika ditemui pada majlis mengangkat sumpah ADUN Kelantan di sini hari ini.

“Saya sendiri tidak jangka dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, apa pun saya bersyukur dengan semua perancangan yang disusun awal lagi oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2023

- Advertisement -