Guru maut dalam banjir ketika Makkah dilanda hujan ribut

Kilat yang disertai ribut kuat dan hujan lebat melanda Makkah, di Jeddah, Arab Saudi dalam tempoh 24 jam dari malam Selasa, 22 Ogos 2023 hingga awal pagi Rabu, 23 Ogos 2023. (FOTO: Wion)
- Advertisement -

JEDDAH: Seorang guru lelaki mati lemas akibat banjir susulan kilat menyambar Menara Jam Diraja Makkah ketika bandar suci umat Islam dilanda ribut petir dan hujan lebat semalaman dalam tempoh malam kelmarin, Selasa (22 Ogos) dan awal pagi semalam, Rabu (23 Ogos).

Mohammed Al-Twaim, seorang guru di Sekolah Rendah Mina, kehilangan nyawanya ketika cuba keluar  diri dari keretanya yang ditenggelami air banjir.

- Advertisement -

Jurucakap Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi, Hussein Al-Qahtani berkata, ribut berkenaan membawa angin kencang yang bertiup melebihi 80 kilometer/jam (km/j) dan 45 milimeter (mm) hujan dalam tempoh 24 jam.

Kejadian itu berlaku pada masa yang sama, jemaah umrah cuba mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram, yang menyaksikan kilat menyambar mercu tanda Menara Diraja Jam Fairmont Makkah, yang lalu menerangi langit malam di situ. 

Sementara jemaah yang berada di luar masjid terpelanting ditup angin, sehingga ada yang meluncur di lantai yang basah dilanda hujan lebat. 

“Senario itu sangat menakutkan,” kata seorang penduduk Makkah, Mohammed yang sedang membeli barangan runcit ketika kejadian hujan ribut berkenaan, lapor Arab News.

“Semuanya berlaku dalam masa beberapa minit, apabila hujan mula turun secara tiba-tiba dan menggila,” tambahnya.

Seorang lagi penduduk, Abu Mayyada yang sedang memandu kereta menyatakan dia terkejut  apabila melihat pemandangan di hadapan bertukar menjadi warna hitam ketika ribut itu melanda.

“Semuanya menjadi hitam di hadapan saya. Tiba-tiba saya hilang kawalan kenderaan yang dipandu. Saya tidak dapat melihat apa-apa yang terjadi, tetapi saya mula mendengar bacaan al-Quran di radio. Saya tidak faham apa yang berlaku ketika itu,” kongsinya.

Sementara itu, susulan kejadian tersebut, Muhafazat Makkah berkata sekolah-sekolah akan terus ditutup, dengan kelas dijalankan pada platform e-pembelajaran demi kepentingan keselamatan semua orang.

Pusat Meteorologi Saudi pula mengeluarkan memberi amaran tentang ribut susulan yang bakal melanda  wilayah Makkah dan lokasi lain di barat negara itu. – HARAKAHDAILY 24/8/2023

- Advertisement -