Tambah `Membangun Bersama Islam’ lebih tepat

Saizol Ismail (paling kanan) pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa ribut oleh Menteri Besar Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Langkah kerajaan Kelantan mengubah suai tema sambutan Hari Kebangsaan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Membangun Bersama Islam’ dianggap lebih tepat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Saizol Ismail berkata, apa sahaja usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat perlu disokong.

- Advertisement -

Katanya, semangat cintakan negara sebenarnya tidak bergantung siapa yang mentadbir negara, sebaliknya sebahagian daripada tuntutan agama.

“Perpaduan dan cintakan negara merupakan ajaran Islam dan diajar oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu setiap rakyat perlu ada rasa cinta kepada perpaduan dan tanah air.

“Cinta tersebut supaya tempat kita berpijak menjadi tenteram dan aman. Kehidupan dan amalan agama dapat diamalkan,” katanya yang juga Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di sini.

Semalam, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadhli Hassan memberitahu Kelantan turut mengguna pakai tema sambutan Hari Kebangsaan serupa Kerajaan Pusat, namun ditambah perkataan `Membangun Bersama Islam’ (MBI).

Kerajaan Persekutuan menggunakan tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ yang disifatkan Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) diserapi elemen politik.

Sementara itu, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Kelantan akan diadakan pada petang 30 Ogos ini di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.

Program itu akan bermula seawal jam 6.30 petang dengan Kelantan Berselawat, diikuti perbarisan dan perarakan dalam stadium.

Azman Ahmad

Bekas ahli Lembaga Pengarah Kesedar, Azman Ahmad pula berkata, langkah kerajaan Kelantan menambah perkataan MBI pada tema Hari Kebangsaan selaras dengan usaha kerajaan negeri sejak lebih 30 tahun lalu.

“Rakyat Kelantan pelbagai kaum dan agama sudah serasi dengan MBI yang dipertahankan sejak 1990 sehingga sekarang.

“Mereka hidup aman damai di bawah kepimpinan ulama. Perpaduan rakyat begitu terserlah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2023

- Advertisement -