Jabatan Pembangunan Persekutuan bermotif politik

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebelum 2018 peruntukan yang disalur kerajaan Kelantan tidak masuk terus kepada kerajaan negeri, sebaliknya melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang dipengerusi pemimpin Umno.

- Advertisement -

JPP Kelantan diwujudkan pada 1 Januari 1991 selepas Kelantan diterajui PAS. Agensi itu menyelaras dan memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan Persekutuan di Kelantan.

Jabatan itu juga bertanggungjawab secara langsung dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, kewujudan JPP bermotifkan politik kerana hanya terdapat di negeri yang diterajui pembangkang.

Sedangkan katanya di negeri-negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) ketika itu tidak ada agensi berkenaan.

“Sepatutnya kerajaan Pusat menghormati konsep federalisme dan mandat rakyat.

“Hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan diibaratkan sebagai hubungan anak dan bapa yang perlu menghormati semangat federalisme,” katanya program Live Sinar, malam tadi.

Menurutnya juga dalam tempoh begitu lama Kelantan dianaktirikan daripada mendapat peruntukan kerajaan Pusat.

Beliau berkata, halangan itu akhirnya roboh setelah PERIKATAN NASIONAL (PN) mentadbir Putrajaya selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

“Pada era pemerintahan Tan Sri Muhyidin Yasin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob peruntukan kepada Kelantan disalur terus kepada kerajaan negeri.

“Malangnya di bawah pentadiran Perdana Menteri sekarang peruntukan tersebut disalurkan semula melalui JPP termasuk bantuan banjir akhir tahun lepas,” katanya.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri atau pusat tidak perlu menuding jari mencari salah, sebaliknya pemimpin harus berbincang bersama demi kemaslahatan rakyat tanpa mengira negeri tersebut dikuasai pembangkang atau tidak. – HARAKAHDAILY 17/8/2023

- Advertisement -