Rakyat Kelantan tetap pertahan pentadbiran Islam

Nik Bahrum Nik Abdullah (kanan) di samping bekas ADUN Chempaka, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) berikrar akan meneruskan program yang dilaksanakan wakil-wakil rakyat sebelum ini selaras agenda kerajaan negeri.

Mereka turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan penuh kepada PN bagi meneruskan pentadbiran kerajaan Kelantan.

ADUN Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, sokongan padu pengundi Sabtu lepas membolehkan PAS mempertahankan kerajaan negeri sehingga memasuki penggal ketujuh.

Menurutnya, majoriti besar yang diperolehnya sebanyak 11,224 undi jelas membuktikan rakyat Kelantan ingin meneruskan pentadbiran berasaskan Islam. 

- Advertisement -

“Insya-Allah, saya akan meneruskan agenda Chempaka Sejahtera dan apa sahaja program yang dilaksanakan bekas ADUN sebelum ini Ustaz Ahmad Fathan Mahmood.

“Kita akan tambah perkara yang lebih baik dalam perancangan kita bersama,” katanya di sini, semalam.

Beliau menyatakan bahawa projek industri kecil dan sederhana (IKS) dan promosi pelancongan menarik di Pengkalan Chepa yang berteraskan Islam akan diperluaskan lagi.

ADUN Semerak, Norsham Sulaiman turut melahirkan rasa syukur di atas kemenangannya yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak.

Norsham Sulaiman (tengah) dengan anak-anak muda di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabtu lepas beliau memperolehi majoriti 5,828 undi dan menyifatkan rakyat Kelantan benar-benar mencintai perjuangan Islam.

Katanya, kemenangan itu juga hasil kesungguhan jentera yang tidak pernah patah semangat untuk terus berjuang sehingga DUN berkenaan berjaya dipertahankan.

“Insya-Allah, saya akan meneruskan usaha dan gerak kerja yang dilakukan oleh pimpinan terdahulu dan bekas wakil rakyat Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

“Saya juga akan teruskan hubungan ukhuwah yang terbina di DUN Semerak supaya kedamaian dapat dikekalkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -