Korban ‘amukan’ alam di India hampiri angka 700 

Visual kesan hujan yang turun selama berhari-hari yang melanda daerah Mandi di negeri Himachal Pradesh, utara India menyebabkan banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh pada 14 Ogos 2023. (FOTO: Twitter Nikhil Saini @iNikhilsaini/Curlytales.com) Kepada Banjir Kilat & Tanah Runtuh Di Daerah Mandi
- Advertisement -

DEHRADUN, India: Sekurang-kurangnya 58 orang terkorban, 50 daripadanya dalam tempoh 24 jam lalu, dan ramai lagi dikhuatiri hilang selepas hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di India, dengan jumlah keseluruhan yang maut akibat bencana hujan monsun sejak Jun tahun ini kini menghampiri angka 700.

Hujan lebat selama berhari-hari disusuli tanah runtuh itu telah menghanyutkan kenderaan, merobohkan bangunan dan memusnahkan jambatan di negeri Himalaya utara merangkumi Himachal Pradesh dan Uttarakhand.

- Advertisement -

Di Himachal Pradesh, 50 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu, meningkat daripada angka rasmi sebelum ini sebanyak 41. Angka itu termasuk sekurang-kurangnya sembilan terbunuh dalam keruntuhan sebuah kuil Hindu di ibu negeri, Shimla.

“Tiada rekod sebelum ini mengenai hujan sebegitu dan lebih 50 kematian di negeri ini dalam tempoh 24 jam – dan angka ini boleh meningkat lagi, kerana masih terdapat kira-kira 20 orang di bawah runtuhan,”  kata Ketua Menteri Sukhvinder Singh Sukhu kepada media tempatan lewat Isnin (14 Ogos), lapor AFP.

“Pihak pentadbiran tempatan sedang giat berusaha untuk membersihkan serpihan bagi menyelamatkan individu yang mungkin masih terperangkap,” tambah Sukhu.

Pekerja penyelamat sedang bertugkus lumus menyelamatkan mangsa yang tertimbus di dalam rumah mereka di Himachal Pradesh, India pada 14 Ogos 2023. (FOTO: Kerala Kaumudi)

Imej dari kawasan yang dilanda teruk di Himachal Pradesh menunjukkan mayat-mayat mangsa ditarik keluar dari timbunan tanah gelap yang telah menghancurkan bangunan dan memecahkan bumbungnya.

Beribu-ribu orang telah terkandas, dengan jalan utama, talian elektrik dan rangkaian komunikasi terganggu; dengan visual laluan rel kereta api kelihatan berjuntaian di udara, dengan tanah di bawahnya hanyut dibawa arus.

Musim tengkujuh di Asia Selatan khususnya di India, berlangsung saban tahun dari Jun hingga September, biasanya membawa kira-kira 80 peratus jumlah hujan tahunan ke rantau ini.

Hujan lebat semasa musim tengkujuh 2023 kali ini mengakibatkan banjir teruk dan tanah runtuh di seluruh India Utara, terutamanya menjejaskan penduduk di Himachal Pradesh, Punjab, Chandigarh, Uttarakhand, Jammu dan Kashmir, Haryana, Rajasthan dan Delhi.

Penduduk tempatan menyeberangi jambatan di atas sungai Beas yang mengalir laju ketika hujan lebat di daerah Kullu, Himachal Pradesh, India pada 10 Julai 2023. (Foto PTI)

Gelombang monsun, ditambah dengan gangguan cuaca dari sebelah barat telah menyebabkan jumlah hujan tertinggi melanda sejak beberapa dekad di beberapa bahagian di rantau ini, menyebabkan sungai-sungai berdekatan melimpah, dengan banjir dan tanah runtuh menghanyutkan kenderaan, memusnahkan jambatan dan jalan raya, serta mengganggu bekalan elektrik.

Presiden India, Droupadi Murmu, berkata dia bersedih  dengan kehilangan nyawa penduduk dalam akibat mala petaka hujan monsun kali ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga yang menderita khususnya di Himachal Pradesh.

Terdahulu Hindustan Times pada 14 Julai 2023, melaporkan bahawa data kementerian dalam negeri India mendedahkan bahawa 624 maut angkara malapetaka musim tengkujuh barat daya yang melanda sejak Jun tahun ini.

Pada tahun ini, Himachal Pradesh mencatatkan penurunan hujan sebanyak 223 milimeter – jumlah tertinggi dalam tempoh 50 tahun yang lalu di beberapa tempat seperti Solan dan Una, dan telah menjadi lokasi tumpuan ‘kemarahan’ hujan monsun 2023 di India, dengan hampir 60,000 orang terkandas di seluruh negeri itu. – HARAKAHDAILY 15/8/2023

- Advertisement -