Pengaruh PH luntur di Kuala Kubu Bharu

Calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu.
- Advertisement -

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang sudah memintas minggu kedua semakin menggelegak dengan isu-isu berbahang.

Semakin hampir kepada hari pembuangan undi 11 Mei ini, lebih ramai pemimpin parti gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat tertumpu di Kuala Kubu Bharu untuk membantu memenangkan calon masing-masing.

- Advertisement -

Walaupun PRK DUN Kuala Kubu Bharu ditandingi empat calon, hanya dua calon dilihat bersaing untuk memenangi kerusi itu – calon PN, Khairul Azhari Saut dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau calon PH dari DAP, Pang Sock Tao.

Calon PN mempunyai kelebihan untuk menang berasaskan kepada sokongan rakyat dan komposisi pengundi. Tambahan pula, kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Madani sambung-menyambung dari satu isu ke isu yang lain, diburukkan lagi dengan kenaikan harga barang yang menghimpit kehidupan rakyat.

Dua calon lagi, Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin, agak sukar untuk meraih undi kerana mereka tidak mempunyai profil dan sokongan daripada penduduk setempat.

Daripada kehangatan dan hiruk pikuk suasana berkempen sejak hari penamaan calon 27 April lalu, jelas menampakkan PH kian terdesak, seolah-olah PRK di Kuala Kubu Bharu ini diangkat setaraf dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

Bagi PN dan PH, PRK ini sangat penting sama ada tersirat atau tersurat. PN mahu membuktikan kemenangan parti itu nanti sebagai isyarat yang rakyat Selangor, mewakili seluruh rakyat semua kaum, menolak pentadbiran Kerajaan Madani dengan harapan enam lagi PRK kawasan Parlimen yang akan diadakan selepas ini terus dikuasai PN.

PH pula mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu untuk membuktikan parti itu masih mendapat sokongan rakyat. Itulah sebabnya PH tidak segan-segan menabur pelbagai janji baharu untuk terus mengaburi mata rakyat, walaupun pemimpin mereka sedar janji yang ditabur sebelum ini masih belum ditunaikan.

Takkan lah disebabkan takut dengan tindak balas pengundi di Kuala Kubu Bharu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup membuat pengumuman mengenai kenaikan gaji untuk penjawat awam yang belum tahu di mana kepala dan di mana ekornya.

Mungkin, memikirkan pengumuman ini boleh mempengaruhi pengundi, ia tetap diumumkan walaupun sedar ramai lagi kumpulan atau sektor lain yang tidak berpuas hati dan perlu diberi layanan yang sama.

Ini berbeza dengan sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menghadapi tuntutan daripada Cuepacs menjelang pilihan raya sewaktu pentadbirannya. Apabila ditanya oleh wartawan ketika itu, Tun Dr Mahathir menegaskan jika kalah sekali pun dalam pilihan raya disebabkan tidak memenuhi tuntutan Cuepacs, “that’s too bad”.

Ini kerana ketika itu kerajaan menghadapi bebanan kewangan yang meruncing. Beliau boleh sahaja berjanji atau memberi jaminan untuk menimbangkan tuntutan itu, tetapi itulah membezakan sikap pemimpin yang tidak suka berjanji dengan pemimpin yang berjanji sesuka hati walau pun tahu ia sukar ditunaikan.

Bagi meramal keputusan awal pilihan raya, ia boleh dilakukan dengan melihat beberapa indikator, sebagaimana dilakukan dari satu pilihan raya ke pilihan raya yang lain.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada beberapa angkubah, contohnya, jika sebelum ini rakyat terpengaruh dengan janji, keadaan yang sama mungkin tidak berlaku lagi kerana rakyat sudah tidak percaya kepada janji yang tidak dibuktikan. Bagi PH, strategi menabur janji, memakan diri sendiri.

Populariti parti atau calon ditentukan menerusi liputan berita di media sosial. Daripada liputan berita di pelbagai platform media sosial, PN dilihat mendahului jauh di depan berbanding PH.

Namun di media arus perdana, PN tidak mendapat ruang berita yang sewajarnya, jika ada pun, ia mungkin untuk tujuan manipulasi. Dengan pengaruh media sosial kebelakangan ini, media arus perdana hampir hilang sengatnya.

Liputan meluas daripada media arus perdana termasuk televisyen tidak lagi dianggap berpengaruh dan menggambarkan populariti parti atau calon. Dalam sesuatu pilihan raya, ia tidak boleh lagi mempengaruhi keputusan pengundi. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -