Sanusi dedah wujud perebutan kuasai kawasan sumber REE

- Advertisement -

KUBANG PASU: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan bahawa terdapat cadangan untuk Kerajaan Persekutuan mengambil alih hak ke atas unsur nadir bumi (REE) yang ditemui di negeri-negeri.

“Bayar royalti je kat negeri macam royalti petroleum. Hoi mana boleh, itu negeri punya. Boleh tak boleh? Taubat aku tak bagi! Kalau PN (Perikatan Nasional) perintah Pusat pun, (kepada) PN pun aku tak bagi.

“Pasal ni hak negeri. Negeri ni dia ada kuasa tak banyak,” ujar beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PN pada Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra, di sini malam tadi.

Menurut beliau, hal ehwal agama berada di bawah kuasa Sultan, sementara kuasa negeri hanya tinggal tanah, sumber mineral, sumber air dan hutan, manakala agihan bekalan air sudah diambil alih Persekutuan.

Beliau membuka pencerahan mengenai potensi REE yang telah mewujudkan pertembungan di peringkat global melibatkan kuasa besar China dan Amerika Syarikat hingga berlaku rancangan untuk menguasai tanah negara ini.

Katanya, dalam menguasai sumber tersebut, ada pihak berkepentingan di negara ini yang sudah menjadi barua Amerika termasuk membawa taikun besar bagi memohon kawasan dipercayai terdapat REE itu di negeri ini.

Bidas beliau, ketika Kedah sedang membangunkan jiwa sendiri yang merdeka serta tanpa berhutang dengan sesiapa, ada individu penting negara ini berhutang dengan orang lain antaranya melibatkan penggunaan helikopter.

“Kempen (pilihan raya) naik helikopter siapa suruh? Sejam RM30,000-RM40,000 siapa nak bagi kat hang percuma? Sejam (kos) puluh ribu, tentu ada balasan. Balasan dia apa? Hat nilah duk buat la ni.

“Nak rebut sana, nak rebut sini, nak balas hat ni, nak orang itu, nak batal orang ni. Pasal depa nak kawasan ni,” dedahnya terhadap perangai dan motif kepada lobi dan isu sedang ditimbulkan pihak berkenaan ketika ini.

Terdahulu Sanusi mengulangi jawapan balasnya kepada fitnah yang cuba mengaitkan beliau dengan individu warga China, So Loi Fat sepertimana dituduh oleh Setiausaha Agung PKR, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Antara disebut beliau juga adalah Pengerusi Prospek Suria Sdn Bhd, Dato’ Dr Fathul Bari Mat Jahya iaitu bekas Exco Pemuda Umno yang menurutnya jika syarikat itu melakukan kesalahan, maka ini adalah individu perlu didakwa juga.

Namun tegas beliau, hakikatnya tidak berlaku kecurian tersebut oleh individu atau di tanah seperti yang dituduh Saifuddin, sebaliknya kecurian dilakukan oleh pihak lain dan dalam tanah dilesenkan kepada pihak lain. – HARAKAHDAILY 3/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -