Gelombang sokongan penduduk Cina Pulau Pinang terhadap PN

Barisan calon PERIKATAN NASIONAL di Pulau Pinang yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 pada 12 Ogos ini.
- Advertisement -

PADANG BESAR: “Saya hadir di sana (Pulau Pinang) dan jumpa sebahagian penduduk Cina kebanyakan mereka bersama dengan PN. Itu yang diluahkan kepada saya di kedai kopi dan di tempat awam semuanya berhasrat begitu.” 

Demikian kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika ditemui di Stesen Penyelidikan FRIM, Mata Ayer, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau juga telah hadir di Kedah malam tadi pada majlis pengisytiharan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dan melihat secara atas talian program serupa di Pulau Pinang dan Selangor. 

- Advertisement -

“Saya lihat gelombang rakyat belum reda malah semakin meningkat dan saya yakin apa yang dilihat di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, PN akan menang di enam negeri yang terbabit dengan PRN 2023,” tegasnya sambil menambah, beliau yakin PN akan membuat kejutan di Pulau Pinang dan Selangor.

“Pulau Pinang pun ada gelombang kebangkitan anak muda dan pergolakan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan memberi kelebihan kepada PN,” ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, pergolakan yang berlaku membabitkan parti komponen PH-BN itu akan memberi kelebihan kepada PN.

Tambah beliau, gelombang di Negeri Sembilan dilihat berlaku secara senyap seperti di Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lepas.

“Negeri Sembilan ni macam Perlis, senyap sahaja lepas itu akan berlaku perubahan. Selangor pula mengalami gelombang hebat insya-Allah akan berlaku perubahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -