Era Kerajaan PN April 2020, RON95 RM1.35 seliter

- Advertisement -

SEBUAH portal berita baru-baru ini menyiarkan rencana yang meramalkan Perdana Menteri (PM) Anwar Ibrahim mungkin akan menurunkan harga petrol dan diesel menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 pada 12 Ogos ini.

- Advertisement -

Seperti yang kita tahu harga petrol dan diesel menjadi perkara nombor wahid yang menghantui Anwar semenjak menduduki kerusi Perdana Menteri ke-10 (PMX) November lepas.

Janji turun harga minyak sebenarnya sudah lama disebut Anwar. Pada tahun 2015 hingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 beliau masih di penjara sebelum diberi pengampunan Diraja pada 2018. 

Beliau mengulangi komitmen itu pada Julai 2022 pada perhimpunan PKR dengan kata-katanya yang terkenal “Menang hari ini turun minyak esok!”. 

Kalau bukan kerana ucapannya yang mengulangi komitmen menurunkan harga petrol dan diesel pada Julai 2022, mungkin masih boleh lagi Pakatan Harapan (PH) menangkis janji terbabit.

Setelah mengetuai pentadbiran negara Anwar masih dihantui janji turun harga petrol dan diesel. 

Namun apa boleh buat, harga petrol dan diesel sekarang masih tinggi. Jika kita mahu tahu harga sebenar petrol RON95 tanpa subsidi yang dijual pada harga subsidi RM2.05 seliter, kita boleh melihat harga minyak RON97. 

Secara kasarnya untuk menjangkakan harga sebenar RON95 tanpa subsidi, biasanya harganya murah 30 sen daripada harga RON97. Contohnya jika harga RON97 ialah RM3 bermakna harga sebenar RON95 tanpa subsidi ialah RM2.70. 

Era Muhyiddin

Harga bersubsidi RON95 pada masa ini kekal pada harga siling RM2.05 seliter. Pada era pemerintahan Muhyiddin Yassin harga tanpa subsidi RON97 pernah turun sehingga RM1.55 seliter dan RON95 pada RM1.35 seliter pada April 2020.

Namun, sekarang harga RON97 sekitar RM3.37. Semasa Anwar membentuk kerajaan pada November 2022 harga RON97 ialah RM3.95. 

Pada penghujung Julai 2022 Anwar berkata “Jika berdasarkan harga petrol pada hari ini tidak ada sebab minyak tidak boleh turun”. Pada masa itu harga RON97 ialah RM4.80 seliter.

Jika ikut logik Anwar, pada Julai 2022 dengan harga tanpa subsidi RON95 RM4.50 seliter, maka sudah tentulah hari ini dengan harga tanpa subsidi RON95 pada RM3.07 sudah pasti lebih banyak yang dapat Anwar turunkan. 

Namun mengapa Anwar tidak mahu turunkan sekarang? Sebaliknya beliau mendakwa situasi tidak sebaik pada masa dia mengulangi komitmen menurunkan harga petrol pada Julai 2022? 

Pada hal harga petrol sekarang lebih rendah daripada harga petrol pada Julai 2022. Aneh bukan?

Sebenarnya memang untuk menurunkan harga minyak kerajaan perlu memberi tambahan subsidi yang sangat besar dan kerajaan tidak mampu melakukannya.

Tetapi dalam keadaan terdesak untuk turunkan harga petrol, sekurang-kurangnya PM dapat mengurangkan ejekan: “hari ini saya jadi PM esok minyak turun!” 

Walau pun kerajaan tidak mampu, namun penulis melihat mungkin Anwar akan turunkan harga petrol walau pun lima sen tanpa mengendah kerajaan menanggung bebannya.

Bukan turunkan harga petrol sahaja, banyak lagi ‘habuan besar’ mungkin disediakan untuk memastikah PH-BN menang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini. 

Lagi pun semua orang tahu. Langkah politik itu nak ambil hati rakyat menjelang PRN. Kesan kepada kewangan negara itu cerita kemudian hari. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -