PRN: Jentera PAS tidak leka dengan ‘supermoon’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lautan manusia sempena Munajat Rakyat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat lepas disifatkan pelbagai pihak sebagai ‘supermoon’.

- Advertisement -

Naib Presiden Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sebelum ini PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) sifatkan ‘green wave’ kerana mendapat sambutan luar biasa rakyat.

Bagaimanapun katanya PAS tidak pernah berasa selesa terhadap gambaran yang diberi penganalisis politik dan laporan media.

“Islah supermoon yang digunakan media kita baca pun suka tetapi kadang-kadang orang yang beri perkataan menarik itu supaya kita leka, jadi dia bagi istilah-istilah tersebut.

“Kadang-kadang kita menjadi lupa diri, jadi ia agak bahaya apabila berdepan dengan ujian sehingga membuatkan kita leka,” katanya pada diskusi 45 minit yang disiarkan secara langsung di Facebook KelantanTV malam tadi.

Himpunan Munajat Rakyat Kelantan pada malam Sabtu lepas dihadiri lautan manusia, disifatkan negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sejarah yang belum disaksikan sepanjang 80 tahun terbabit dalam politik.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, semua jentera PAS perlu bekerja keras dan jangan merasa selesa dengan keadaan yang berlaku sekarang.

“Kita perlu ingat antara sebab kekalahan dalam mana-mana peperangan ialah apabila kita memandang mudah kepada pihak lawan, sebab itu kita jangan pandang rendah pihak lawan.

“Kita jangan leka dan selesa dengan pujian sehingga kita merasakan ‘over confident’ bahkan merasa tidak berbuat apa pun kita akan menang.

“Sebab itu, kita jangan ‘over confident’ dan jangan pandang rendah pihak lawan terutama ketika berdepan dengan realiti hari ini,” katanya.

Beliau juga berkata, kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini boleh memberi sedikit ancaman kepada PAS yang dahulu boleh menang selesa.

Menurutnya dahulu PAS menang selesa kerana berlaku pertandingan tiga penjuru iaitu PH-BN-PAS namun, hari ini PH dan BN bergabung. – HARAKAHDAILY 24/7/2023

- Advertisement -