Perlis peruntuk geran RM40,000 untuk PVATM

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis memperuntukkan sebanyak RM40,000 setahun kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, ini kerana bukan suatu perkara yang mudah untuk mengurus dan mentadbir persatuan itu demi memastikan hal ehwal kebajikan veteran terus terbela.

- Advertisement -

“Dalam memastikan nasib veteran ATM di Perlis tidak terabai, kerajaan Perlis memperuntukkan geran tahunan sebanyak RM40,000 setahun.

“Ini bagi memastikan pentadbiran dan pengurusan persatuan berjalan dengan lancar,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PVATM Ke-58 di Dewan Kemas Alor Tampang, Beseri, semalam.

Menteri Besar berkata, segala pengorbanan veteran ATM tidak pernah dilupakan oleh kerajaan negeri.

“Tanpa perjuangan mereka, mungkin kita tidak dapat berdiri di sini dengan selesa sebagai rakyat sebuah negara yang berdaulat dan aman damai.

“Saya juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada semua ahli veteran kerana mempertahankan maruah negara daripada terus tergadai serta mengorbankan usia muda mereka demi keselamatan dan masa depan kita semua,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Bantuan Bencana negeri, Wan Badariah Wan Saad; Yang Dipertua PVATM, Dato’ Idrus Kassim dan Panglima Briged ke-30 Infantri, Brig Jen Yazid Yusof.

Pada majlis yang sama, 10 orang veteran terpilih menerima Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB). – HARAKAHDAILY 24/7/2023

- Advertisement -