Penerbangan pertama jemaah umrah Andalusia Travel ke Taif

Sebahagian daripada 88 jemaah kendalian Andalusia Travel dalam penerbangan KL ke Taif pada malam 16 Julai 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) telah melancarkan penerbangan pertama yang membawa jemaah umrah musim 1445H  di bawah kendaliannya terus ke Taif dari Kuala Lumpur.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris berkata, penerbangan seramai 88 jemaah pada malam tadi akan sampai di Lapangan Terbang Jeddah dan terus ke Taif, berbeza dengan jemaah umrah sebelum ini yang kebiasannya dari Jeddah terus ke Makkah. 

- Advertisement -

“Biasanya, jemaah sebelum ini akan berniat miqat di atas udara kerana mereka akan terus bergerak ke Makkah setelah sampai ke Jeddah,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Beliau menyatakan jemaah umrah pada kali ini akan masuk ke Makkah dari Taif yang mana mereka akan berniat miqat di Masjid Qarnul Manazil.

“Ia merupakan satu keistimewaan untuk penerbangan jemaah umrah untuk kali ini,” ujarnya yang menambah bahawa 50 daripada 88 jemaah tersebut merupakan wanita.

Bandar Taif kian meraih populariti dalam kalangan jemaah umrah dan haji kerana cuacanya yang nyaman dan dingin. (FOTO: Saudi Gazette)

Turut hadir menyaksikan jemaah pertama kendalian Andalusia Travel terus ke Taif di KLIA pada malam tadi ialah Pengarah Urusannya, Ibrahim Mat Sin.

Pada ketinggian 2,000 meter dari aras laut dan terletak di pinggir barat Tanah Tinggi Al-Hijaz, Taif adalah sebuah bandar kecil yang terletak di wilayah Makkah, barat daya Arab Saudi yang dikelilingi pergunungan Al-Sarawat,yang menjanjikan udara nyaman dan dingin.

Ida Riswana dan Ibrahim hadir dalam pelancaran penerbangan pertama jemaah umrah Andalusia Travel KL-Taif di KLIA, Sepang pada malam tadi.

Sejak kebelakangan ini, sebahagian besar jemaah umrah dan haji Malaysia turut merebut peluang untuk ke Taif yang mengambil masa kira-kira satu setengah jam menaiki bas dari kota suci Makkah.

Cuaca panas kering di Makkah menarik perhatian ramai untuk berkunjung ke kota Taif ketika musim cuti dan panas menyebabkan ia kini merupakan kota peranginan popular, khususnya dalam menghasilkan buah-buahan segar terutama anggur, delima dan buah zaitun, selain bunga mawar dan madu.

Dalam pada itu, ujar Ida Riswana, Andalusia Travel menyasarkan untuk membawa lebih kurang 70,000 jemaah pada musim 1445H ini.

“Alhamdulillah, setakat ini hampir 21,000 jemaah yang telah berdaftar dengan Andalusia Travel  bagi pakej 1445 Hijrah,” katanya.

Harit Nazre

Menurut beliau, Andalusia Travel pada kali ini memilih penerbangan Saudi Airlines dan jemaah umrah tersebut  akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Satu daripadanya adalah jemaah yang mengambil pakej jarak dekat yang tinggal di hotel Safwah Royale Orchid.

“Satu lagi kumpulan yang mengambil pakej tinggal di hotel Al-Olayan yang merupakan pakej sederhana,” katanya.

Tambah beliau, Andalusia Travel terpaksa menggunakan visa pelancong untuk umrah kali ini memandangkan visa umrah belum lagi dibuka untuk negara ini.

“Yang istimewanya lagi merupakan mereka (jemaah) akan bertembung dengan ramai jemaah haji yang belum pulang lagi ke tanah air,” ujarnya.

Sarimah Abu Bakar

Salah seorang jemaah penerbangan sulung terus ke Taif  kendalian Andalusia Travel kali ini,  Harit Nazre berkata, dia berasa gementar kerana ini merupakan kali pertama menunaikan umrah. 

“Lagipun saya baru habis belajar tapi harapan saya ialah dapat membuat ibadah yang mabrur dan dapat jaga ibu saya sekali yang ikut sama menunaikan umrah,” katanya. 

Seorang lagi jemaah, Sarimah Abu Bakar pula berkata dia cukup teruja untuk sampai ke tanah suci. 

“Saya menunaikan umrah bersama sama kakak dan kawan-kawan,” ujarnya kepada HarakahDaily sambil memberitahu bahawa dia sudah lama membuat persiapan umrah termasuklah menyertai kursus umrah anjuran Andalusia Travel dan juga kursus-kursus umrah yang lain. 

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana dapat ikut sekali pergi ke tanah suci hari ini,”  katanya lagi.

Khairunizam Khaidir

Sementara, Khairunizam Khaidir yang menunaikan umrah bersama-sama isteri dan kedua-dua ibu bapa mertuanya turut berkongsi perasaan teruja untuk berangkat ke tanah suci.

“Saya berharap dapat menunaikan umrah dengan sempurna dan apabila balik ke Malaysia, saya menjadi seorang yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -