Fitnah menteri madani hanya gali kubur sendiri

- Advertisement -

PAS Kedah berpandangan politik fitnah yang terus dimainkan oleh kepimpinan PH-BN sedang memakan diri sendiri tanpa mereka sedari. 

Satu demi satu fitnah yang cuba dihamburkan kepada Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor direncanakan bagi menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

Ironinya, situasi sebaliknya berlaku. Fitnah tersebut sedang menggali perkuburan PH-BN dengan lebih dalam. Segala tohmahan dan fitnah yang ditujukan kepada kepimpinan Menteri Besar Kedah telah dijawab balas dan ia menggambarkan Menteri Madani tidak tahu selok-belok pentadbiran. 

Seluruh Kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH-BN dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang Menteri Besar di sebuah negeri. Sangat tragis sekali apabila bukan sahaja perancangan mereka gagal bahkan sokongan kepada YAB Sanusi pula semakin melonjak naik.

Naratif ‘Sanusi tidak berbuat apa-apa’ sebenarnya membuka cerita era pemerintahan sebelumnya yang sekadar menangguk di air keruh.

PAS Kedah menegaskan gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak PH-BN semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung. Malah, tidak mustahil negeri-negeri selesa PH-BN suatu ketika bakal merebah ke bumi untuk diambil alih oleh PERIKATAN NASIONAL. 

PAS Kedah yakin PH-BN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy’ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh YAB Sanusi. 

PH-BN juga semakin hilang keyakinan terhadap ‘poster boy’ mereka sehingga memaksa seluruh Menteri Madani turun beraksi di negeri Jelapang Padi ini.

Insya-Allah rakyat di keenam-enam negeri khususnya Negeri Kedah sudah pun bersedia untuk memastikan PH-BN tersungkur menyembah bumi dan YAB Sanusi sedang memimpin kebangkitan ini.

DATO’ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -