KUANTAN: Kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pahang khususnya di Parlimen Indera Mahkota menaikkan semangat yang tinggi kepada jentera pilihan raya parlimen itu.
Ini, kata Ahli Jawatankuasa PN negeri, Andansura Rabu, untuk membantu jentera pilihan raya di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Menurutnya, sekitar 150 petugas daripada kawasan Indera Mahkota akan membantu jentera pilihan raya PN di Selangor.
“Kita mensasarkan akan menghantar anggaran lebih kurang 150 orang petugas di lapangan bermula dari 22 Julai ini sehinggalah hari mengundi, sepanjang tempoh berkempen pilihan raya nanti.
“Selain daripada itu kita juga akan terlibat sama di dalam kerja-kerja merayu undi di lapangan sepanjang tempoh berkempen,” ujarnya ketika dihubungi semalam, setelah kembali dari Sepang bagi membincangkan gerak kerja yang sedang diatur.
Tambahnya, jentera pilihan raya dari Indera Mahkota ditugaskan di kawasan parlimen Sepang.
“Kami ditugaskan untuk membantu di kawasan Sepang, cuma kita akan diberi penumpuan kepada satu atau dua daerah mengundi yang akan ditetapkan atau diputuskan oleh sahabat kita di Sepang nanti,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Menurut Adun Beserah itu lagi, berdasarkan data yang dibentangkan serta petunjuk semasa, dengan strategi yang sedang disusun kerusi di kawasan berkenaan mampu dimenangi oleh PN.
“Dengan kesepaduan yang dibentuk bersama sahabat-sahabat di sana, insya-Allah kami yakin mampu memberikan saingan yang kuat kepada parti penyandang kerusi sebelum ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!