Tolak politik fitnah, seru amal politik matang hadapi PRN

- Advertisement -

PAS Kedah mengecam tindakan sesetengah pihak yang menggunakan serangan fitnah bagi menjatuhkan lawan politik khususnya berkaitan dengan hal peribadi YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor. 

Apakah mereka tiada lagi modal untuk membahaskan prinsip politik dan dasar yang cemerlang sepanjang pentadbiran beliau sehinggakan isu-isu peribadi yang tidak bersangkutan turut diheret ke medan politik?

Perkara ini menggambarkan hipokrasi politik matang yang sering dilaungkan oleh sesetengah pihak. ‘Mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih.’

Tuduhan semberono sebegini sememangnya menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH). Sejak awal mereka mengambil alih pentadbiran lagi pelbagai tuduhan yang menyimpang dihalakan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN). 

Mereka menuduh Tan Sri Muhyiddin terlibat dalam rasuah sedangkan kes tersebut belum pun dibicarakan dalam mahkamah. Begitu juga tuduhan ke atas Dato’ Tuan Ibrahim sebelum ini ketika beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) oleh Rafizi Ramli. Namun, ia terus menyepi sehingga ke hari ini. 

Perdana Menteri juga pernah menuduh PN menerima dana daripada syarikat perjudian juga akhirnya terbukti ia satu fitnah dan pembohongan. 

Satu Malaysia menyaksikan pembohongan dan fitnah menjadi ‘makanan’ mereka dalam berpolitik. 

Lebih malang lagi ada badan-badan penguatkuasa diarahkan oleh pihak tertentu untuk terus menjatuhkan reputasi Menteri Besar Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

PAS Kedah sekali lagi mengulangi bahawa rakyat Malaysia seharusnya menjauhi politik kotor yang dimainkan oleh pihak lawan. Politik fitnah dan adu domba bukanlah identiti politik negara yang harus diangkat ke tengah. 

PAS Kedah yakin rakyat sudah matang untuk menilai PH sebagai kaca, manakala PN sebagai permata. Jelas dan terang. 

Sekian.

YB DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
Ahli Parlimen Pokok Sena – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -