‘Kewangan tiada, jadi kami lancar projek wakaf air’

- Advertisement -

JERANTUT: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damak meneruskan Projek Wakaf Air untuk manfaat masyarakat.

- Advertisement -

Pelaksanaan projek itu sebagai inspirasi daripada inisiatif Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewujudkan Wakaf Air sewaktu menerajui kementerian itu, sebelum ini.

Menurut Adun Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud, pihaknya melaksanakan projek itu sejak Mac yang lalu.

“Kami telah menjalankan projek Wakaf Air DUN Damak ini sejak Mac yang lalu. Ini adalah projek kali kedua. Kali pertama berjaya membantu penduduk Kampung Berau,” ujarnya pada program membina empangan air bersih di Kampung Tepam, kira-kira 40 km dari sini Isnin lalu.

Beliau berkata, projek yang dilaksanakan dengan penyertaan sekitar 50 orang itu adalah sumbangan daripada orang ramai bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat bahkan dari seluruh negara.

“Apabila aduan sampai, kewangan tiada, jadi kami lancarkan projek wakaf air ini. Bila dah cukup duit, kami adakan gotong-royong, kami tak sub kepada kontraktor,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang.

Ustaz Zuridan menjelaskan, aktiviti gotong-royong yang diadakan itu adalah bagi meneruskan lagi aktiviti Damak Bersih yang telah dianjurkan sejak Julai 2018 selepas beliau memenangi Dun itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Katanya, kali ini telah masuk siri ke-14 di mana objektif utamanya ialah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk membaik pulih rumah, menghidupkan kembali budaya bergotong-royong.

Tambahnya, ia juga untuk menggalakkan masyarakat menyumbang ke Tabung Kebajikan Dun Damak bagi meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 06055010034031 Tetuan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin amat bersyukur dan bertuah menjadi sebahagian daripada masyarakat di daerah ini.

Menurutnya, ukhuwah komuniti amat kuat dan sentiasa ringan tulang untuk sama-sama bekerjasama dan bergotong-royong demi kesejahteraan dan keselesaan bersama.

“Empangan ini amat istimewa kerana dibina hasil daripada sumbangan orang ramai. Alhamdulillah,” ujarnya yang turut pada program tersebut.

Katanya, walaupun lori menghadapi masalah untuk menurunkan pasir tetapi dapat diatasi dengan semangat gotong royong mereka yang hadir.

“Jadi kami ramai-ramai naik lori yang rosak itu untuk turunkan pasir. Kerja jadi senang sebab dilakukan beramai-ramai. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

“Inilah semangat yang harus kita tanam dalam diri kita,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk dan orang ramai yang menjayakan gotong-royong serta memberikan sumbangan bagi membina empangan itu.

“Semoga segala amal kita dirahmati Allah SWT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -