Kor Ming jangan biadab – As-Sabiqun

Mohamad Noor Mohamed
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: As-Sabiqun PAS Pusat mengingatkan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming supaya jangan biadab, celupar dan berpura-pura ‘alim’ semata-mata mahu menutup tipu muslihat parti itu.

- Advertisement -

Setiausahanya, Mohamad Noor Mohamed menegaskan tiada sebab untuk Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak itu meminta Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kembali ke pangkal jalan.

Katanya ini kerana ideologi sekular dan konsep Malaysian Malaysia yang menjadi anutan parti itu adalah manifestasi daripada kefahaman keliru dan salah yang bakal menjejaskan ketenteraman dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Bekas Bendahari PAS Pusat itu berkata, bagi memastikan ideologi sekular ekstrem sapertimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan DAP perkara 2 Fasal 11 matlamat-matlamat, pemimpin DAP terus menerus menakut-nakutkan rakyat dengan Islam.

Ini, ujarnya bagi menghakis sokongan yang berterusan dan kian meningkat sebahagian besar rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL.

Menurut beliau konsep Malaysian Malaysia yang jelas diperjuangkan oleh DAP adalah sesuatu yang bahaya kepada masyarakat berbilang bangsa.

“Usaha dan tindakan bagi memastikan DAP tidak terus meracuni rakyat dengan kedua-dua ideologi ini perlu didukung oleh semua pihak.

“Ini penting supaya rakyat dapat hidup dalam negara Malaysia ini dalam suasana harmoni dan aman,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian susulan Kor Ming menasihatkan Presiden PAS untuk bertaubat dan berhenti menyebarkan fitnah kepada DAP, khususnya dengan menggunakan retorik kaum dan agama. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -