Baiah: Suasana sekarang sudah berbeza

Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin
- Advertisement -

ARAU: Sumpah baiah masih dikekalkan bagi semua calon yang bertanding mewakili PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin berkata, dasar tersebut masih ada dan cuma diubahsuai sedikit di peringkat negeri di mana ada yang menambah kandungan tertentu.

“Suasana sekarang sudah berbeza berbanding dahulu yang menyaksikan ahli parti kita sangat setia dan walak kepada pimpinan.

“Contohnya di Kelantan dahulu (ketika Pilihan Raya Umum 2004) memerlukan baiah seperti sumpah taklik kerana suasana genting ketika itu. Sekarang situasi sudah berbeza,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, sekarang walak ahli dan penyokong PAS sangat hebat.

Antara kandungan baiah tersebut sekirannya calon meninggalkan atau lompat ke parti lain dengan keredaan sendiri setelah dipilih menjadi calon atau terpilih sebagai ahli Dewan Negeri, rakyat atau dilantik menjadi Senator maka dia akan dilaknat oleh Allah SWT, Rasul serta orang beriman serta segala perbelanjaan menggunakan wang elaun dewan tersebut adalah haram.

Selain itu, calon juga bersumpah meletak jawatan apabila keluar atau dipecat oleh parti.

Pada 7 Julai lepas Majlis Syura Ulamak (MSU) meneliti 126 calon PAS yang bakal bertanding di 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN tidak lama lagi.

Proses tapisan calon dilaksanakan MSU akan menentukan kelayakan calon dari segi syarak sebelum diangkat kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

Tuan Guru Hashim juga berkata, keyakinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk merampas Kedah dan Kelantan pada PRN kali ini dianggap sebagai angan-angan.

“Dalam suasana sekarang momentum sokongan rakyat lebih memihak kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Apa pun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan kita yakin mampu mencapai kemenangan dalam PRN akan datang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -