Usah lupa isu asal Tanah Rizab Melayu di Perak

- Advertisement -

SEKALUNG tahniah kepada YAB Menteri Besar Perak di atas kesungguhan serta usaha yang dijalankan bagi menambah keluasan Tanah Rizab Melayu di Negeri Perak melalui sidang media yang telah beliau nyatakan pada 6 Julai yang lalu dengan peningkatan keluasan Tanah Rizab Melayu kepada 955,587.8 Hektar tetapi masih belum capai 50 peratus keluasan yang seharusnya diwartakan. 

Namun demikian, YAB Menteri Besar Perak tetap tidak boleh lari daripada isu asal yang perlu kepada penjelasan khususnya mengenai persoalan pengurusan Tanah Rizab Melayu di Negeri Perak seperti:

i. Siapakah dalang yang menyebabkan peruntukkan 50 peratus Tanah Rizab Melayu di Negeri Perak berkurang?

 ii. Teguran daripada Ketua Audit Negara khususnya mengenai tatakelola sehingga mengubah status Tanah Rizab Melayu dan apakah wujud sebenarnya ketidakpatuhan kepada peraturan?

 iii. Apakah wujud kemungkinan sehingga berlaku salah guna kuasa atau rasuah seperti yang berlaku di daerah Manjung. 

 iv. Adakah YAB Menteri Besar Perak telah merujuk kepada pihak autoriti agama khususnya kewajaran menjadikan tanah wakaf tergolong dalam Tanah Rizab Melayu terutama rundingan 800 hektar yang bakal diwartakan dalam kawasan tambahan TRM di Gunung Bersout, Daerah Batang Padang.

YAB Menteri Besar Perak berkemungkinan mengetahui sebilangan besar maklumat mengenai dengan perkara ini, namun pencerahan dan tindakan tuntas mengenai perkara ini perlu dimaklumkan secara umum khususnya rakyat Negeri Perak berbangsa Melayu.

Justeru, saf Pembangkang Dewan Negeri Perak tetap konsisten untuk menuntut pihak kerajaan menerbitkan ‘Kertas Putih’ dan seterusnya dibentang pada Sidang Dewan Negeri Perak akan datang untuk dibahas secara menyeluruh. 

Saf Pembangkang juga amat menjunjung ketelusan daripada pihak berkuasa negeri serta agensi penguatkuasaan yang bebas dan telus seperti SPRM untuk memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai maklumat terkini hasil daripada siasatan khususnya mengenai laporan yang telah dibuat oleh pihak kami pada 7 Jun 2023 yang lepas.

Sekian. Terima kasih.

YB TUAN HAJI RAZMAN ZAKARIA AAP., PJK.,
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -