Lim Guan Eng cuba cetus Hartal Pulau Pinang 2.0?

- Advertisement -

PENGERUSI Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng ‘membuka mulut’ beliau yang dilihat untuk memasuki gerbang PRN enam negeri dengan membakar hasutan perkauman dan agama secara ekstrem. 

China Press melaporkan, ucapan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut memberi peringatan kepada para pengundi untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di Pulau Pinang.

“Jika ‘gelombang hijau’ tidak senang dengan tokong yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya. Tetapi selagi Pulau Pinang masih kekal sama, rakyat masih boleh bersembahyang kepada dewa dan Buddha,” katanya.

MalaysiaNow yang memetik media berbahasa Cina itu melaporkan Guan Eng berucap demikian ketika menghadiri sebuah acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Tokong Batu, Jelutong pada Jumaat.

Ahli Parlimen Bagan itu dilaporkan membawa cerita abad ke-13 dan 14 iaitu peristiwa peluasan Empayar Mongol di China hasil serangan pencerobohan tentera yang disifatkan paling ganas dalam sejarah.

Dia bahkan menggelar penyokong ‘gelombang hijau’ di negeri itu sebagai ‘pembelot dan pemberontak’ yang akan dilaknat sehingga ‘meninggalkan reputasi busuk selama beribu-ribu tahun’.

Pulau Pinang juga dikaitkannya dengan sejarah China iaitu kisah pengkhianatan Jeneral Wu Sangui terhadap Dinasti Ming yang melepaskan askar Manchu untuk menakluk negara tersebut.

“Jangan bawa masuk askar Qing (Manchu) merentasi sempadan,” ujarnya memberi amaran Pulau Pinang bakal dilenyapkan oleh pemerintah ‘gelombang hijau’ dan dijadikan sebahagian daripada negeri Kedah.

Guan Eng turut dilaporkan media tersebut berkata bahawa ‘gelombang hijau’ akan mengharamkan minuman keras, judi, seluar pendek dan salun dandanan rambut uniseks.

“Selagi Pulau Pinang masih diperintah oleh kerajaan yang sama (DAP), semuanya boleh kekal sama. Jika tidak pada masa depan, ada yang terpaksa memakai baju ketika mandi.

“Gelombang hijau sangat berbahaya. Jika kita tidak berhati-hati, hak asasi rakyat akan dieksploitasi. Jadi kita harus melindungi Pulau Pinang,” petik media tersebut kepada ucapan itu.

Mengundang bahaya

Momokan ‘gelombang hijau’ termasuk dikaitkan dengan Kedah, menjadikan senario dikemuka Guan Eng itu secara zahirnya ditujukan kepada PAS walaupun tiada nama parti disebutnya.

Tetapi jelas terang lagi bersuluh, ucapan itu sarat dengan propaganda di mana menyemai doktrin prasangka, ketakutan, kebencian dan permusuhan secara provokasi hasutan berunsur jenayah.

Namun secara halus menjadi jarum kejahatan yang disuntiknya ke minda kaum untuk merangsang ke arah menjurangkan lagi prejudis dan polarisasi sedia wujud dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ianya berisiko meletuskan tindak balas radikal yang memudaratkan serta mengancam gugat ketenteraman awam ke atas perpaduan masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama negara ini.

Paling membimbangkan, tidak sedikit mara bahaya boleh diundang akibat daripada ucapan tersebut sepertimana rusuhan antara kaum yang pernah tercatat dalam sejarah hitam tanah air.

Antaranya tragedi Bandaraya George Town (Januari 1957); Pulau Pangkor (Mei 1959); Bukit Mertajam (Julai 1964); 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur terutamanya; Kampung Rawa, Jelutong (1989) dan Kampung Medan, Petaling Jaya (2001).

Akibatnya perintah berkurung dan darurat terpaksa diisytihar hingga menyebabkan banyak rutin terbantut dan paling menyedihkan apabila ada nyawa terkorban serta ramai yang tercedera.

Pun begitu, ucapan rasis Guan Eng itu dan jika dilihat kepada isu ekonomi yang dikritiknya pada Mei lalu, ia seakan hampir menyamai situasi semasa Hartal Pulau Pinang di penghujung tahun 1967.

Peristiwa tersebut dicetus oleh ADUN Datok Keramat, Lim Kean Siew yang juga Pengerusi Parti Buruh ketika itu dengan melancarkan bantahan terhadap dasar Kerajaan Persekutuan.

Protes awam itu bermula sebagai rusuhan ekonomi disebabkan susut nilai matawang dan cukai 2 peratus ke atas barangan Indonesia yang masuk ke negeri itu hinggakan status pelabuhan bebas cukai tergendala.

Sedangkan, ramai kalangan orang Cina berada dalam sektor perniagaan sudah pasti terkesan oleh keadaan itu, selain kerajaan gagal memberi perhatian kepada masalah rakyat berpendapatan rendah.

Tetapi penggerak hartal yang diura-ura mahu memerdekakan Pulau Pinang dari Malaysia sepertimana Singapura, telah merebakkan protes menjadi ketegangan ganas, pergaduhan dan pembunuhan kaum.

Tentera dan polis terpaksa dikerah mententeramkan keadaan dan Kean Siew kemudian ditahan pihak berkuasa di mana penggeledahan di pejabat Parti Buruh telah menemui barangan berkaitan fahaman komunis.

Apakah Guan Eng pula cuba menaja protes senyap berikutan kesuraman ekonomi negara ketika ini untuk dijadikan unsur ugutan atau tekanan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri?

Mungkin PRN nanti akan digunakan untuk maksud tersebut selain turut bertindak bagi memperkukuhkan kedudukan DAP dan membuat lebih banyak tuntutan dalam Pakatan Harapan (PH)?

Terperangkap sendiri

Semua diucap atau dilakukan beliau itu boleh dilihat mempunyai serampang banyak mata dan menjelaskan hakikat bahawa DAP tidak mampu menyembunyikan sikap melampau parti tersebut.

Biarpun dilihat memilih untuk banyak mendiamkan diri sejak sebelum PRU15 lagi, tetapi pekung muslihat dan kepura-puraan DAP tetap terdedah dan terlanjur oleh para pemimpinnya sendiri.

Begitu juga dakwaan Guan Eng kononnya ucapan beliau telah diputar belit dalam laporan media itu, namun malang sekali penafian dibuatnya itu dilihat sebagai satu putar belit baru.

Menariknya, Setiausaha Politik Guan Eng, Wang Hon Wai tidak pula secara terbuka menggesa China Press membuat permohonan maaf dan menuntut siaran ditarik balik sepertimana pernah dilakukan kepada HarakahDaily.

Sedangkan, siaran asal China Press itu dilaporkan telah disunting semula dengan mengadakan pindaan ke atas perkataan ‘tokong’ kepada ‘kuil India’ serta dikeluarkan perkataan ‘Buddha’.

Sekalipun Guan Eng mendakwa beliau bermaksud kepada kes yang terjadi di Kedah, tetapi konteks keseluruhan ucapan itu masih tidak terkeluar dari kerangka hasutan, dia sedang terperangkap sendiri!

Bahkan ini bukan kali pertama Guan Eng mendakwa kata-katanya diputar belit media dan bukan pertama kali juga beliau membakar sentimen tersebut dengan angkuh, celupar dan ekstrem.

Hipokritnya Guan Eng, apabila dia pada minggu lalu mendakwa Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggalakkan keganasan kerana menyebut beberapa istilah dikatakan berkaitan perang.

Iaitu ucapan Sanusi mengenai sejarah Kota Konstatinople dan Sultan Muhammad al-Fateh, tetapi Guan Eng sendiri dalam ucapannya itu turut menyentuh kisah sejarah China berkaitan perang.

Malah istilah diguna beliau sepertimana laporan itu antaranya peluasan empayar, serangan, pencerobohan, tentera ganas dan penaklukan; boleh membentuk pemikiran akan diperangi atau dizalimi.

Apapun semalam pihak polis sudah memulakan siasatan ke atas beliau terhadap isu tersebut dan tentunya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan tidak mahu berulang sebarang ketegangan disebabkan kaum dan agama.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 10/7/2023

Lampiran: 

1. https://harakahdaily.net/index.php/2023/07/07/dap-akan-terperangkap-sentimen-sendiri/ 

2. https://harakahdaily.net/index.php/2023/07/05/pas-jamin-kepentingan-kaum-bukan-islam-dilindungi/ 

- Advertisement -
- Advertisement -