Guan Eng dipelawa lawat patung Buddha di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sedia menanggung kos pelancongan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng ke Kelantan bagi melihat sendiri bagaimana keharmonian kaum serta pelaksanaan amalan agama selain Islam di negeri itu.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda DPPM, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, Kelantan yang diterajui PAS sejak 33 tahun lalu tidak pernah menganggu mahupun mengacau tempat ibadah orang bukan Islam termasuk agama Buddha.

Malah kata beliau tindakan parti yang membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum perlu dihentikan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi untuk memastikan masalah tersebut tidak lagi kedengaran pada masa depan.

“Tiba-tiba hari ini Guan Eng membuat ugutan kepada rakyat Pulau Pinang, kononnya kalau Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri itu, semua tokong Buddha akan dirobohkan oleh PN.

“Guan Eng, mu tu sedar atau pun tidak atau baru keluar gua ke.. cuba mu mari Kelantan tengok tokong Buddha di Kelantan macam mana, jumpa penganut agama Buddha,” katanya pada Pentas Solidariti Anak Muda sempena Solidariti Anak Muda Solid 2023 di Padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI) di sini semalam.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata lagi, keharmonian kaum dan amalan agama di negeri yang ditadbir oleh PAS tidak pernah diganggu meski pun PAS merupakan sebuah parti yang menjadi Islam sebagai teras perjuangannya.

Semalam sebuah portal berita tempatan memetik laporan bahasa Mandarin melaporkan Ahli Parlimen Bagan itu memberi amaran kepada pengundi di Pulau Pinang mengenai bahaya jika ‘gelombang hijau’ tidak disekat.

Beliau dilapor mendakwa jika tampuk pemerintahan negeri itu diambil PN akan mengakibatkan tokong Buddha akan dimusnahkan dan penganut agama tersebut akan berhadapan dengan pelbagai sekatan untuk mengamalkan agama.

Bagaimanapun pemimpin DAP terbabit hari ini menganggap laporan media tersebut sebagai silap petik.

Afnan juga berkata, Islam mengajarnya penganutnya supaya tidak menganggu ritual keagamaan yang diamalkan oleh agama selain Islam dan perkara itu sudah dibuktikan di Kelantan di bawah pemerintah PAS.

Menurutnya di Kelantan khususnya di jajahan Tumpat mempunyai tokong pelbagai bentuk duduk berdiri termasuk berbaring yang merupakan kedua terbesar di dunia selepas patung Buddha di Myanmar.

“Cuba tengok tokong Buddha di Tumpat Kelantan dan pergi jumpa orang bukan islam di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Kita tidak langsung mengusik amalan agama dan tuhan mereka daripada dahulu lagi.

“Inilah ucapan yang paling rasis yang digunakn untuk memecah-belahkan kesatuan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia, tindakan 3R seperti itu perlu dihentikan dan tolak parti terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2023

- Advertisement -