KUALA LUMPUR: “Saya tak berminat untuk bicarakan soal angka dan jumlah peserta. Cukuplah ia dibicara oleh gambar dan video,” kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Menerusi hantaran di laman sosialnya hari ini, beliau juga menyatakan tidak berminat untuk membandingkan dengan pihak lain.
“Hanya sekadar ingin berkongsi gembira dengan semua peserta hasil kebersamaan dan kesatuan kita semua,” katanya yang memuatkan foto konvoi bermotor anak muda ke tapak Program Santai Anak Muda, Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu petang semalam. (Foto atas)
Katanya, konvoi itu bukan kerja buat anak-anak muda dan bukan hari-hari tetapi ia ruang masa seketika untuk ‘pelepas hawa’ atau boleh jugak kalau dikatakan healing di mana sebahagian lagi menjadikan aktiviti itu sebagai hobi.
“Konvoi ni beberapa jam sahaja. Semua segmen lapisan rakyat cuba disantuni pimpinan PAS Terengganu selagi tidak melanggar syariat. Konvoi bermotosikal salah satu,” ujarnya yang juga ADUN Tepoh.
Tambahnya, sebahagian besar anak-anak muda itu merupakan penyumbang kitaran ekonomi negeri.
Menurutnya lagi, ada dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai juru kimpal, pendawaian elektrik, mekanik, jurujual, perkhidmatan dan sebagainya.
“Hari ini, mereka semua sudah berada dalam gelanggang mencari rezeki dan mula menyumbang kembali kitaran ekonomi negeri dan negara.
“Jangan sesekali downgrade anak muda. Setiap lapisan mereka ada gaya fikir tersendiri.
“Ada intelektual mereka tersendiri. Setiap latar belakang mereka ada pengalaman tersendiri,” katanya yang turut menyertai konvoi itu.
Justeru, kata Hishamuddin pemimpin perlu banyak mendengar, meneliti dan menyesuaikan dengan keadaan atau keupayaan.
“Alhamdulillah, itulah manifestasi hubungan rakyat dan pemimpin. Kita jalan terus depani onak dan duri untuk bangunkan negeri dan negara tercinta,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2023