Ribut dahsyat serang Belanda, tuju Denmark, Jerman

Seorang wanita terbunuh di Haarlem, Belanda apabila sebatang pokok tumbang di atas sebuah kereta yang dinaikinya dalam kejadian pada pagi hari ini, 5 Julai 2023 waktu tempatan. (FOTO: ROYA NEWS)
- Advertisement -

THE HAGUE, Belanda: Ribut musim panas dahsyat melanda Belanda, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut, meniupkan pokok-pokok ke kediaman penduduk; dan memaksa salah satu lapangan terbang paling sibuk di Eropah membatalkan atau menangguhkan ratusan penerbangan.

Institut meteorologi Belanda sehubungan itu telah mengisytiharkan amaran kod merah di tiga wilayahnya ketika ribut dikenali dengan nama Storm Poly itu melanda negara berkenaan pada pagi hari ini, Rabu (5 Julai), waktu tempatan, dengan hujan lebat dan angin kencang yang direkodkan di pantai barat Armsterdam mencecah  kelajuan lebih 145 kilometer sejam, lapor AP.

Media tempatan memaparkan gambar pokok-pokok yang tumbang dan serpihan yang diterbangkan angin bersepah di jalan-jalan raya di The Hague, Armsterdam dan bandar Haarlem ketika ribut itu melanda ketika waktu pagi yang sibuk.

- Advertisement -

Jurucakap polis, Nina Moers berkata, seorang wanita terbunuh di Haarlem apabila sebatang pokok tumbang di atas kereta yang dinaikinya. 

Di Amsterdam, sebatang pokok tumbang di atas bot rumah yang berlabuh di salah satu terusan bersejarah di bandar itu.

Video menunjukkan pokok bertaburan di lebuh-lebuh raya, dan tumbang menimpa deretan rumah di Haarlem, selain ke atas trem di The Hague. 

Perkhidmatan kecemasan di wilayah Holland Utara, termasuk ibu kota Amsterdam, menghantar amaran kepada telefon bimbit menggesa orang ramai untuk tinggal di dalam rumah ketika ribut itu muncul, sementara pihak berkuasa trafik juga menasihatkan pemandu supaya mengelak daripada memandu.

Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol, salah satu hab penerbangan tersibuk di Eropah, berkata dalam laman webnya bahawa ia menjangkakan trafik udara yang sangat terhad akan berlaku pada sebelah petang hari ini, yang membawa kepada pembatalan dan kelewatan untuk penerbangan masuk dan berlepas.

Syarikat kereta api nasional negara itu juga telah menghentikan semua sistem kereta api di utara Belanda, ketika ribut itu dijangka bertiup ke utara merentasi Belanda lewat malam ini menuju ke Denmark dan Jerman. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -