Ringgit jatuh: Kartel ambil kesempatan tindas petani

Kejatuhan nilai ringgit Malaysia kini dimanipulasi oleh syarikat-syarikat kartel menyebabkan golongan petani tertindas dalam senario rakyat derita dan lelah menghadapi masalah kos sara yang hidup tinggi, yang dijangka bertambah perit jika OPR naik lagi kepada 3.25 peratus,
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat kartel dikhuatiri telah mengambil kesempatan dengan kejatuhan mata wang ringgit Malaysia (RM) untuk menindas golongan-golongan petani di negara ini.

Pensyarah Pengurusan Rantaian Makanan di Fakulti Bisnes dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof Dr. Suhaiza Hanim Mohamad Zailani berkata, kejatuhan nilai mata wang ringgit telah memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi negara ini secara langsung.

- Advertisement -

“Krisis sebegini turut memberi kesan kepada rantaian bekalan (supply chain) makanan lebih-lebih lagi apabila ia dikawal oleh syarikat-syarikat kartel  (di negara ini),”  katanya kepada HarakahDaily.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya menyatakan terlalu banyak syarikat-syarikat kartel mengawal rantaian bekalan dalam industri makanan tempatan, telah menyebabkan mereka menaikkan harga bahan-bahan mentah yang benar-benar menindas golongan-golongan petani tempatan.

Suhaiza Hanim Mohamad Zailani

Lebihkan eksport daripada import

“Alasan yang mereka beri dalam menaikkan kos bahan-bahan mentah hanyalah kerana nilai ringgit Malaysia jatuh tetapi pada masa sama, mereka dapatkan bahan-bahan mentah pun melalui import.

“Jadi, bagaimana tidak berlakunya kenaikan kos tersebut bila bahan-bahan mentah sendiri pun melalui import?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia seharusnya perlu bergantung kepada penggunaan bahan-bahan mentah sedia ada, lebih-lebih lagi ketika menghadapi pelbagai krisis kewangan.

“Seharusnya kerajaan menggalakkan penggunaan bahan-bahan mentah yang sedia ada di negara ini dan melebihkan jumlah eksport daripada import,” ujarnya.

Menurut beliau, langkah sebegini dapat dilakukan untuk mengurangkan kos-kos bahan mentah dan pada masa sama dapat mengurangkan kenaikan harga bekalan makanan.

Mohd Yusof Saari

Hapuskan kartel

Menyentuh tentang kenaikan kos sara hidup yang kini berlaku di negara ini, beliau tidak menafikan bahawa masalah  tersebut juga adalah kesan daripada penurunan nilai mata wang ringgit.

“Sementelah, jika rantaian bekalan di negara kita sendiri pun tiada pengawalan akibat dipegang oleh syarikat-syarikat kartel, maka kesannya ia  turut menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup (dalam kalangan rakyat) secara tak langsung,” katanya.

Beliau menyatakan, kerajaan pada masa ini telah banyak mengimport bukan sahaja makanan seperti ayam dan telur tetapi juga bagi sektor perubatan.

“Sekali lagi saya ingin tegaskan, kerajaan seharusnya lebih menggalakkan ekonomi eksport berbanding import dan untuk melakukan perkara tersebut wajib mempunyai dasar yang telus,” katanya.

Isu masalah kewujudan kartel dalam rantaian bekalan barangan di Malaysia sebelum ini telah cuba dibanteras oleh kerajaan terdahulu, seperti yang diutarakan Penganalisis ekonomi, Prof Madya Mohd Yusof Saari ketika muncul dalam program Agenda AWANI pada 4 Januari 2023.

Beliau pada ketika itu menegaskan bahawa jawapan untuk menurunkan kos sara hidup yang tinggi di Malaysia ketika ini adalah dengan menghapuskan kartel dalam rantaian bekalan barangan.

“Usaha kerajaan terdahulu untuk membanterasnya (masalah kartel) harus diteruskan, malah diperhebatkan supaya beban  rakyat dapat diringankan tatkala bedepan tempoh resesi (atau kemelesetan ekonomi) mendatang.

Muhammad Zahid Abdul Aziz

OPR naik hingga 3.25 peratus?

Ketika polemik kos sara hidup rakyat di negara ini dirumitkan oleh isu penguasaan kartel, masalah itu dijangka bertambah parah apabila Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) semalam menjangkakan  unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dinaikkan lagi sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang keempat bagi 2023 pada hari ini, dan esok, Khamis.

Terdahulu dalam wawancara HarakahDaily dengan pakar ekonomi Islam bebas, Muhammad Zahid Abdul Aziz pada Mac 2023, beliau menegaskan bahawa kenaikan OPR tidak dapat mengurangkan kos hidup rakyat, sebaliknya ia akan semakin membebankan mereka. 

Beliau yang memilih untuk menyatakan bahawa OPR yang dalam bahasa Inggerisnya ialah Overnight Policy Rate itu  lebih sebagai kadar riba dalam sistem negara ini (atau kadar riba negara). 

“Ini kerana OPR (apatah lagi jika kadarnya semakin naik) jelas merupakan riba yang akan memberikan kesan terhadap sesiapa sahaja yang membuat pinjaman terhadap mana-mana industri perbankan, termasuklah perbankan Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -