Wang soverin: Kenyataan Guan Eng ‘ketinggalan zaman’

Muhammad Zahid
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kenyataan Lim Guan Eng terhadap penyelesaian wang soverin (sovereign money) disifatkan sebagai ‘ketinggalan zaman’.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Gerakan Keadilan Monetori Malaysia, Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata, wang soverin merupakan kaedah yang mengambil alih kuasa penciptaan wang daripada setiap perbankan (bank-bank swasta)  kepada suatu badan dikenali sebagai Pihak Berkuasa Monetori Pusat.

- Advertisement -

“Ini bermakna, wang soverin bermaksud ‘hak mencipta wang dipindah dari bank-bank swasta dan diserah semula menjadi hak negara’. Di Malaysia adalah dicadangkan agar penciptaan wang bawah sistem wang soverin diletak di bawah kawalan secara langsung parlimen.

“Institusi tersebut akan berada di bawah naungan parlimen yang bebas daripada kerajaan yang memerintah dan bank pusat, yang mana wang tersebut digunakan untuk mengalir ke ekonomi sebenar dan infrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan media kepada HarakahDaily.

Beliau menyatakan dakwaan bekas menteri kewangan itu sebelum ini yang melabelkan wang soverin sebagai ‘percetakan wang bebas’ adalah berbentuk penghinaan dan tidak benar.

Punca inflasi rakyat, jurang kaya dan miskin

Terdahulu, akhbar New Straits Times pada 4 Julai 2023, telah melaporkan bahawa Guan Eng sebagai mendakwa penciptaan wang soverin yang dicadangkan oleh Perikatan Nasional (PN) dan PAS akan merosakkan ekonomi negara.

“Cadangan Pas dan PN untuk mengharamkan kadar faedah akan menyebabkan kekacauan sistem kewangan kita dan akan memusnahkan ekonomi kita dengan kehilangan pekerjaan yang besar daripada pasaran perbankan, insurans, modal dan saham yang terpaksa ditutup,” katanya dalam laporan akhbar tersebut.

Justeru, Muhammad Zahid melabelkan kenyataan Guan Eng tersebut sebagai ‘ketinggalan zaman’ dalam mengikuti perkembangan Reformasi Monetari Dunia.

“Ini kerana (mengikut prosedur wang soverin) jika kerajaan memerlukan wang, ia harus membentangkan bajet di parlimen untuk dibahaskan  dan sekiranya diluluskan, maka wang tersebut akan ‘dicipta’ oleh Pihak Berkuasa Monetori Pusat.

“Wang tersebut kemudian akan dihalakan kepada Bank Pelaburan Negeri (State Investment Bank) untuk digunakan hanya dalam sektor infrastruktur dan ekonomi sebenar,” katanya.

Menurut beliau, dalam keadaan sekarang ini, sistem perbankan negara (bank-bank swasta tempatan) telah mencipta dan mengalirkan 65 peratus wang kepada pinjaman peribadi, kad kredit, dan seumpamanya yang menyebabkan inflasi tanpa henti kepada rakyat negara ini.

“Ini juga yang menyebabkan berlakunya jurang antara kaya dengan miskin, pengangguran lepasan sekolah dan graduan, pengurangan gaji pekerja, kenaikan harga rumah serta pembantutan ekonomi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -