Cuaca ekstrem 4 Julai: 100 juta rakyat AS terjejas

Serpihan dinaikkan ke udara oleh puting beliung yang melanda sebuah kawasan perumahan berhampiran Greenwood, Indiana, di barat tengah Amerika Syarikat pada 25 Jun 2023. (FOTO: Twitter@/CNN).
- Advertisement -

NEW YORK: Ribut yang melanda kawasan timur Amerika Syarikat, dengan selatan dan barat negara itu berterusan ‘dibakar’ gelombang panas menyebabkan lebih 1,400 penerbangan dibatalkan, menjejaskan lebih 100 juta rakyat negara itu di bawah amaran cuaca ekstrem.

Kekacauan perjalanan menjelang sempena Hari Kemerdekaan 4 Julai di negara itu, menyaksikan hujung minggu perjalanan udara paling sibuk dalam rekod dengan jumlah penumpang tertinggi pernah disaring di lapangan terbang AS itu terganggu, lapor BBC.

Sementara menurut data dari laman web FlightAware, United Airlines (UA) kekal sebagai syarikat penerbangan yang paling teruk terjejas akibat kelewatan pada hari Isnin (3 Julai), menyumbang lebih 200 penerbangan yang ditangguhkan, menurut data dari laman web FlightAware.

- Advertisement -

UA mengalami lebih daripada 5,000 kelewatan dan pembatalan sepanjang minggu lalu, jauh mengatasi mana-mana syarikat penerbangan AS yang lain.

Ketua eksekutifnya, Scott Kirby terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf pada Jumaat (30 Jun) lalu selepas beliau menyewa jet peribadi dari New York ke Colorado untuk mengelak daripada  oleh kelewatan perjalanan syarikat penerbangan itu.

Dalam surat kepada pekerjanya pada Sabtu (1 Julai), beliau berkata ribut petir di hab terbesar UA di New Jersey, telah mewujudkan ‘persekitaran operasi terhad lanjutan’ dan ‘salah satu minggu paling mencabar dari segi operasi yang pernah dialami sepanjang kerjayanya’.

Syarikat penerbangan itu turut memberi pampasan kepada pelanggan yang paling teruk dilanda huru-hara akibat cuaca ekstrem itu, walaupun sebuah keluarga dari Atlanta yang terperangkap di tiga lapangan terbang berbeza dalam tempoh lima hari berkata ia tidak cukup dengan sekadar memohon maaf.

Lebih 1,400 penerbangan dibatalkan akibat cuaca ekstrem pada cuti hujung minggu Hari Kemerdekaan 4 Julai, 2023. (FOTO: New York Post)

Setiausaha Pengangkutan, Pete Buttigieg berkata pada Ahad (2 Julai) pperjalanan di AS menjadi begitu huru-hara adalah kerana cuaca buruk, yang katanya telah memberi tekanan yang besar kepada sistem pengangkutan di negara itu.

Beliau memberitahu CBS News, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA)  akan mengupah 1,500 pengawal trafik udara baharu pada tahun ini dan  tambahan 1,800 lagi menjelang tahun depan.

Menjelang hujung minggu panjang 4 Julai, pegawai industri pula dilanda kebimbangan bahawa pelancaran 5G baharu di sekitar lapangan terbang mungkin mengganggu teknologi pesawat.

Namun jurucakap Jabatan Pengangkutan memberitahu CBS News bahawa tiada gangguan penerbangan serius yang berkaitan dengan perkara itu.

Orang ramai menunggu beg mereka di tengah-tengah deretan bagasi yang tidak dituntut di kawasan tuntutan bagasi syarikat penerbangan United Airlines (UA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX) pada 29 Jun 2023 di Los Angeles, California. (FOTO: Getty Images /AFP)

Ribut petir termasuk yang datang dengan hujan hujan batu bersaiz besar diramalkan pada  Selasa (4 Julai) merentasi timur dari Mississippi ke Massachusetts, serta di negeri lebih utara seperti Montana dan Minnesota.

Gelombang haba yang merentasi selatan AS pula akan kekal, dengan jumlah suhu tertinggi pemecah rekod dijangka beralih ke pantai barat ke California dan Oregon.

Sementara, lebih 180,000 penduduk di bahagian barat tengah AS (kawasan merangkumi negeri Ohio, Indiana, Michigan, Illinois, Wisconsin, Iowa, Minnesota, Missouri, Kansas, Nebraska dan Dakota) masih terputus bekalan elektrik selepas dilanda ribut pada hujung minggu ini, termasuk lebih 50,000 orang di Missouri. – HARAKAHDAILY 4/7/2023

- Advertisement -