BN pakat PH, MIC dan MCA diketepikan

- Advertisement -

LUKUT: Pemimpin dan penyokong MIC dan MCA disaran agar memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Balasubramaniam Nachiappan, berkata kedua-dua parti komponen BN itu seperti disisihkan oleh Umno dalam soal pembahagian kerusi pada PRN kali ini selepas BN berpakat dengan PH.

- Advertisement -

“Sebenarnya kita pun dahulu pernah bekerjasama dengan MIC dan MCA. Mereka pun faham lebih kurang tentang PAS, pendirian PAS, PAS ini macam mana dan program kebajikan PAS.

“Mereka lebih faham tentang itu sebab ada beberapa tahun mereka bersama kita. Dalam beberapa pilihan raya kecil dahulu kita biasa bekerjasama. Jadi kita ajak MIC dan MCA untuk bekerjasama macam dahulu,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat perubahan dalam sokongan rakyat pada kali ini kerana rakyat sedang marah dengan situasi ekonomi dan harga barang yang meningkat.

“Kerana itu kita melihat ada perubahan sikap dalam kalangan pengundi India dan sedikit daripada kalangan pengundi Cina kerana parti-parti kerajaan gagal menunaikan janji,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan untuk melihat PN beroleh kemenangan besar pada PRN ini berdasarkan gelombang rakyat.

“Kita boleh kekalkan pemerintahan di tiga negeri yang sedang kita kuasai. Di Selangor, memang PH sendiri pun takut dengan gelombang perubahan rakyat di situ.

“Kita ada harapan untuk menang di Negeri Sembilan. Di Pulau Pinang, kita akan dapat tambahan kerusi,” ujar beliau kepada Harakahdaily semasa mengadakan pertemuan dengan bakal-bakal calon DHPP bagi Negeri Sembilan yang berlangsung di Markaz PAS DUN Lukut, hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih terutama kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri kerana memberi kepercayaan kepada DHPP untuk bertanding dalam PRN ini.

Mengulas tentang potensi DHPP di Negeri Sembilan yang diperuntukkan tiga DUN, beliau pada awalnya melihat DUN Bahau sahaja mempunyai potensi untuk menang berdasarkan komposisi kaum.

“Mulanya saya fikir di DUN Lukut susah nak menang. Tetapi bakal calon yang kita cadangkan bagi DUN Lukut, saya lihat sangat aktif. Jadi saya percaya dengan kerja keras bakal calon kita ini akan menyumbang kepada kemenangan di sini juga,” ujarnya.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada jentera PN agar tidak mengambil mudah dan terlalu yakin apabila melihat gelombang sokongan rakyat yang sedang berlaku sekarang.

“Walaupun kita nampak ada sokongan daripada pengundi untuk PN, kita janganlah fikir mudah kita boleh menang dan ‘overconfident’. Saya minta kita kena kerja keras untuk mendapatkan sokongan rakyat pada PRN ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2023

- Advertisement -