KANGAR: Perlis mencatatkan kenaikan mendadak kes denggi daripada 161 kes pada tahun lepas kepada 443 kes pada tahun ini.
Maklumat dari portal rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis menunjukkan Mukim Titi Tinggi merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 106 kes, Kuala Perlis sebanyak 88 kes diikuti Utan Aji sebanyak 68 kes sehingga 1 Julai tahun ini.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, rakyat diingatkan agar sentiasa memastikan keadaan persekitaran rumah bersih dan tiada tempat yang membolehkan air bertakung.
“Kita perlu sentiasa pastikan kebersihan kawasan rumah seperti tiada tempat air bertakung dan sampah dibuang di tempat yang disediakan.
“Jangan biar sampah berlonggok di tempat tidak sepatutnya yang akan menyebabkan terjadinya tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Sebelum itu, beliau bersama agensi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis melakukan semburan membasmi aedes di Felda Mata Ayer, Padang Besar yang merekodkan satu kes dari 25 Jun sehingga 1 Julai 2023. – HARAKAHDAILY 4/7/2023