Kelantan umpama kilang lahir rakyat berilmu agama

- Advertisement -

TUMPAT: Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Bustanus Saadah Morak muncul johan pertandingan Nasyid Mahrajan Ilmi Sekolah-Sekolah Agama YIK Peringkat Zon Tumpat.

- Advertisement -

Sekolah terbabit akan mewakili Zon Tumpat ke pertandingan peringkat negeri pada Julai ini.

Sebanyak enam sekolah dari zon berkenaan berentap untuk merebut juara, namun keputusan berkenaan memihak kepada SMU (A) Bustanus Saadah Morak.

Kumpulan nasyid dari Maahad Muhammadi pula menduduki tempat kedua, diikuti tempat ketiga SMU (A) Meheliah Geting, Tumpat.

Bekas Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah berkata, Kelantan seumpama sebuah kilang yang melahirkan rakyat berpendidikan agama dan berkhidmat di mana-mana di seluruh negara.

“Anak Kelantan yang hebat pelbagai bidang ‘dieksport’ mengikut kepakaran masing-masing sama ada sebagai seorang hufaz, tenaga pengajar, usahawan, pegawai kanan kerajaan dan berbagai lagi.

“Alhamdulillah sebahagiannya daripada produk YIK yang kita banggakan,” katanya pada majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan nasyid Mahrajan Ilmi Sekolah- Sekolah Agama YIK Peringkat Zon Tumpat semalam.

Sementara itu Ketua Juri pertandingan, Nasir Hasan menyifatkan johan kumpulan tersebut mempunyai harapan cerah untuk ke peringkat lebih jauh pada masa akan datang.

Katanya, lagu-lagu yang dipertandingkan memenuhi syarat yang ditetapkan dan sebutan lagu termasuk bahasa Arab juga begitu jelas.

“Bagaimanapun mereka perlu sentiasa berlatih untuk mencapai impian pada masa akan datang,”ujarnya.

Mudir sekolah berkenaan, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmod ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas kemenangan itu sambil menyifatkan pengorbanan pasukan nasyid dan guru berbaloi sehingga meraih kemenangan.

Beliau turut berharap kumpulan berkenaan memperbanyakkan latihan sebelum mara ke peringkat final pada Julai. – HARAKAHDAILY 26/6/2023

- Advertisement -